M Update, 25/10/2019 – Polis membenarkan ahli keluarga terdekat tahanan disyaki ada hubungan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bertemu sempena Deepavali.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, mereka dibenarkan bertemu di pusat tahanan Ahad ini sempena perayaan Deepavali. Bagaimanapun kita hanya benarkan keluarga terdekat sahaja berjumpa tahanan.
“Mereka boleh berbuat demikian dengan ke pusat tahanan individu terbabit ditahan,” katanya.
Abdul Hamid berkata, kertas siasatan terhadap suspek LTTE sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.
“Sekarang kita hanya menunggu arahan Pejabat Peguam Negara sebelum tindakan susulan diambil,” katanya.
Sebelum ini akhbar melaporkan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan kerana disyaki terbabit LTTE mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Beberapa pihak termasuk peguam kepada 12 individu ditahan mendesak polis membebaskan tahanan menjelang Deepavali. – HM Online