M Update, 15/11/2019 – Seorang anggota polis trafik maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika melakukan penugasan Ops Samseng Jalanan di Jalan Hosba berdekatan Kampung Kubang Pasu, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 2 pagi itu, mangsa, Konstabel Adam Che Aziz, 25, berasal dari Machang, Kelantan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata ketika kejadian, mangsa yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu sedang melakukan tugas operasi.
Sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas ke laluan bertentangan dan terlanggar kabel serta tiang lampu.
Ketika itu mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Hosba menghala ke Kampung Darat.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jenazah Adam dibawa pulang ke kampungnya pagi ini untuk dikebumikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.