M Update, 22/11/2019 – Kerajaan tidak akan terburu-buru menghapuskan Akta Hasutan 1948 kerana peruntukannya mempunyai kaitan dengan Perlembagaan Persekutuan dan 11 perundangan lain.
Langkah pemansuhan akta yang sering disifatkan sebagai ‘drakonian’ atau zalim, khususnya dalam kalangan pejuang hak asasi manusia itu hanya akan dilaksanakan selepas peruntukan perundangan bagi melindungi Raja, agama dan kaum (3R) dialihkan ke perundangan lain.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata kerajaan tidak mempunyai jangkaan masa pemansuhan akta berkenaan, namun bertekad melaksanakannya selari janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH). Bagaimanapun, katanya, kerajaan mengambil pendirian ‘biar lambat, asal selamat’ kerana khuatir pemansuhan Akta Hasutan 1948 bakal mengundang kelompangan terhadap mekanisme perlindungan isu sensitif di negara ini.
Ia lebih-lebih lagi bagi yang berupaya mencetuskan polemik berpanjangan dalam kalangan masyarakat. Selari komitmen kerajaan PH, kita akan mansuhkan akta ini tetapi kena pastikan jangan bila sudah mansuh nanti, ada kelompangan yang tidak dapat diatasi disebabkan tindakan terburu-buru kerajaan.
“Orang kata biarlah lambat, asal selamat. Jawatankuasa khas ini giat bersidang bagi memastikan Akta Hasutan 1948 dimansuhkan, selari manifesto PH.
“Saya tidak dapat beri tempoh khusus bila akta ini akan dimansuhkan, namun menteri sudah beri komitmen ia perlu dipercepatkan,” katanya,
Beliau menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang menyarankan kerajaan memperuntukkan tempoh khusus dan pelan terperinci ke arah pemansuhan Akta Hasutan 1948, berbanding sekadar memberikan kenyataan bersifat umum dan ‘penyedap halwa telinga’ rakyat.
Tampak kurang berpuas hati, KS Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) meminta penjelasan kerajaan mengenai punca kelewatan pemansuhan akta terbabit, sedangkan peruntukan bagi melindungi institusi diraja yang lazimnya mengundang polemik boleh dipindahkan ke Kanun Keseksaan.
Secara berseloroh meminta soalan itu tidak diajukan dengan nada marah kerana khuatir mengundang kesan darah tinggi, Mohd Azis mengulangi pendirian kerajaan bukan sengaja ingin melewatkan usaha pemansuhan Akta Hasutan 1948. Sebaliknya, jawatankuasa khas mempertimbangkan mekanisme perlindungan alternatif terhadap dua isu sensitif lain, iaitu yang menyentuh mengenai kaum dan agama di negara ini.
Ada 11 perundangan yang bersangkut-paut dengan Akta Hasutan 1948, justeru kita kena pastikan ia ditempatkan semula ke peruntukan sedia ada. Bukan hanya raja, ia termasuk kaum dan agama yang perlu diambil kira kerana jangan nanti bila ada rakyat menyentuh isu dikaitkan dengan raja, agama dan kaum, kita tercari-cari (perundangan bersesuaian),” katanya. – BH Online