M Update, 27/11/2019 – Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain mengesahkan tidak menerima laporan berhubung dakwaan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaysa (PKM), Chin Peng, dibawa masuk ke Malaysia.
Terdahulu, portal berita tempatan melaporkan, abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang meninggal dunia pada usia 90 tahun di hospital di Bangkok pada 16 September 2013 sudah dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu.
Dalam laporan itu menyebut, satu majlis peringatan dihadiri 150 individu turut diadakan pada hari sama abu mayat itu tiba di Ipoh sebelum ditabur di kawasan laut di Lumut dan kawasan hutan di banjaran Titiwangsa.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertegas dengan larangan kerajaan sebelum ini untuk tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini selepas kerajaan menetapkan keputusan mengenai larangannya sebelum ini. – HM Online