M Update, 11/12/2019 – Program Sarapan Percuma (PSP) yang akan bermula Januari depan akan dilaksana mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) pemilihan makanan di sekolah berasrama, Persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, SOP tersebut selaras amalan pemakanan pelajar berbilang kaum dalam negara iaitu dengan mengutamakan makanan halal, pemakanan sayur-sayuran dan ada yang tidak memakan daging.
“Semasa pendaftaran, mereka akan memilih cita rasa (makanan), kita boleh ikut SOP sedia ada,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Negara bagi menjawab soalan Senator Datuk A Kesavadas Nair mengenai jaminan pemilihan makanan di semua sekolah yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebelum ini mengumumkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mendapat sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan 2020. – Bernama