M Update, 16/12/2019 – Penduduk yang terjejas banjir dinasihatkan sentiasa berwaspada ketika mengendalikan peralatan elektrik.
Penduduk perlu memastikan bekalan elektrik ditutup apabila meninggalkan rumah, meletak peralatan elektrik ke tempat tinggi dan jangan menyentuh alat elektrik dengan tangan lembab.
Penduduk juga dinasihat tidak menyentuh dawai voltan rendah dan tinggi bagi menggelakkan kemungkinan renjatan elektrik serta jangan menghampiri kawasan berlopak yang terdapat wayar putus di dalamnya kerana kemungkinan arus elektrik masih mengalir.
Jangan sesekali cuba mengalih atau memegang wayar elektrik yang terputus sama ada di luar atau di dalam rumah, awasi anak-anak daripada menghampiri tiang elektrik yang tumbang atau kabel yang terputus dan jangan cuba menghidupkan peralatan elektrik yang terendam dalam banjir – Tenaga Nasional Berhad (TNB)
Bersihkan barangan elektrik daripada lumpur banjir di kedua-dua bahagian luar dan dalam menggunakan air bersih, jemur peralatan tersebut sehingga betul-betul kering atau bawa peralatan yang terjejas untuk pembersihan, pemeriksaan dan pembaikan ke kedai peralatan elektrik.
TNB turut menasihatkan penduduk supaya menghubungi pejabat TNB berhampiran atau TNB Care Line di talian 15454 untuk melaporkan kejadian wayar putus atau tiang elektrik patah.
Pihak TNB akan sentiasa mengawasi situasi banjir yang berlaku dari semasa ke semasa dan sekiranya air mencecah paras bahaya, bekalan elektrik ke pencawang, pepasangan dan wayar elektrik di kawasan terlibat akan ditutup untuk sementara waktu demi memastikan keselamatan orang awam terjamin.
Sumber : Bernama