M Update, 30/12/2019 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan memastikan keselamatan negara sebagai keutamaan dan tidak akan berkompromi dalam perkara yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara.
Perkara itu ditegaskan KDN susulan terdapat pihak cuba mengaitkan pengecualian visa selama setahun bagi pelancong India dan China, mulai 1 Januari ini, dengan isu pelancong warga China tinggal tempoh melebihi masa di negara ini. KDN menerusi kenyataan menegaskan, Jabatan Imigresen sentiasa menjalankan operasi untuk membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk pelancong yang tinggal di Malaysia melebihi tempoh ditetapkan.
“Tindakan diambil terhadap warganegara asing yang didapati melanggar undang-undang imigresen dengan cara menangkap, mendakwa di mahkamah dan mengusir mereka ke negara asal,” kata kenyataan itu, hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan kerajaan mengumumkan pengecualian visa selama setahun dengan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari tanpa tempoh lanjutan, bagi pelancong dari India dan China, mulai 1 Januari ini. KDN menjelaskan, warta kerajaan bertarikh 23 Disember 2019 mengenai pengecualian visa berkuat kuasa 1 Januari 2020, adalah prosedur biasa yang dibuat setiap tahun sejak 2016.
KDN berkata, warta kerajaan itu dikeluarkan menurut Akta Passport 1966, membolehkan Pelaksanaan Electronic Travel Registration and Information (eNTRY), iaitu kemudahan tanpa visa bagi pelawat dari China memasuki Malaysia untuk melancong atau lawatan sosial bagi tempoh 15 hari. Katanya, objektif utama inisiatif itu adalah untuk mengukuhkan industri pelancongan dengan memberi kemudahan tanpa visa kepada pelancong yang ingin melawat Malaysia.
“Inisiatif itu diumumkan kerajaan ketika pembentangan pengubahsuaian bajet pada 28 Januari 2016, yang mana pelancong China dikecualikan daripada keperluan visa mulai 1 Mac hingga 31 Disember 2016 tertakluk kepada syarat tertentu, bagi tempoh lawatan tidak lebih 15 hari. Ia kemudian diperluaskan kepada pelancong warganegara India pada 1 April 2017 dengan perlanjutan dilaksanakan secara tahunan mengikut keperluan.
“Kemasukan tanpa visa melalui eNTRY adalah satu penambahbaikan ke atas mekanisme secara Visa On Arrival (VOA) yang mana elemen keselamatan menjadi sebahagian proses eNTRY dan dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen,” kata kenyataan itu.
KDN menjelaskan, kebenaran masuk pelancong masih tertakluk kepada peraturan, prosedur dan kawalan imigresen sedia ada di pintu masuk di mana Notis Penolakan Masuk boleh dikeluarkan sekiranya pelancong tersenarai dalam senarai hitam atau syak Jabatan Imigresen atau tergolong dalam kategori imigran larangan.
“Walaupun kerajaan telah memberi kemudahan pengecualian visa kepada pelancong warga China dan India, namun pelancong kedua-dua negara perlu melengkapkan pendaftaran maklumat melalui sistem eNTRY.
“Ini adalah salah satu langkah kawalan oleh kerajaan melalui Jabatan Imigresen yang akan membuat pemantauan dan verifikasi ke atas pelancong yang menggunakan kemudahan tanpa visa ini.
“Selain itu, pelancong dikenakan syarat supaya permohonan semula melalui eNTRY hanya boleh dilaksanakan selepas 45 hari dari tarikh keluar Malaysia, iaitu tempoh ‘cooling period’ yang juga salah satu elemen kawalan bagi mengelak penyalahgunaan kemudahan ini,” katanya.
Sumber : BH Online