M Update, 17/1/2020 – Cubaan menyeludup daging angsa dan ayam dari China menerusi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) berjaya dikekang hasil pemeriksaan ke atas warganegara China.
Pemeriksaan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, warga asing itu tiba di Balai Ketibaan klia2, kira-kira 5 pagi dan membawa bersama kotak.
“Kotak berkenaan diperiksa dan mendapati terdapat lapan paket daging angsa dan 30 ayam yang masing-masing seberat 30 kilogram. Daging dipercayai dibawa masuk dari China untuk kegunaan sendiri sempena Tahun Baru Cina minggu hadapan.
“Kesemua daging itu dirampas kerana tiada Permit Import dan Sijil Kesihatan dari negara asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perbuatan mengimport apa sahaja tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa permit adalah salah mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya. -HM Online