M Update, 17/1/2020 – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan program e-Tunai Rakyat bertujuan membolehkan kerajaan mendapatkan maklumat dan data peribadi rakyat.
Beliau berkata, kerajaan sebenarnya boleh mendapatkan data peribadi rakyat dengan mudah menerusi carian menggunakan kad pengenalan.
“Kerajaan tidak terbabit dalam perniagaan (tiada kepentingan). Jika ada kesan pun hanya membabitkan trend penggunaan. Kita akan pastikan ini masih sulit dan terus dalam kawalan kerajaan.
“Kalau hendak sebut pasal data, semua ada dalam kad pengenalan, tidak perlu cara ini (program e-Tunai Rakyat).
“Oleh sebab itu, kita jangan terbawa-bawa dengan pihak tertentu yang mungkin iri hati program e-Wallet dan mahu memperkotak-katik program ini yang mendapat sambutan baik rakyat,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Guan Eng mengulas dakwaan pihak tertentu yang mendakwa program e-Tunai Rakyat adalah strategi kerajaan untuk mendapatkan maklumat peribadi rakyat sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menanda tangan Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek Transit Aliran Massa 2 (MRT 2) di antara MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd.
Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Abdul Yazid Kassim dan Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corp, Datuk Seri Che Kalib Mohamed Noh.
Program e-Tunai Rakyat dilancarkan Selasa lalu bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut RM30 melalui tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.
Inisiatif ini diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020, Oktober tahun lalu yang menyediakan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan masyarakat tanpa tunai. – BH Online