M Update, 20/01/2020 – Tentera Darat Malaysia (TDM) menyerahkan beberapa opsyen kepada kerajaan sebagai persediaan dari segi aspek keselamatan bagi menghadapi kesan perpindahan ibu negara Indonesia dari Pulau Jawa ke Kalimantan menjelang 2024.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata TDM melihat perpindahan ibu kota negara jiran itu sebagai sesuatu yang positif, terutamanya melibatkan aspek pertumbuhan ekonomi negara.
“Bagaimanapun, apabila ianya membabitkan perkembangan ekonomi, maka elemen keselamatan perlu dititikberatkan demi memastikan ianya bebas anasir jenayah rentas sempadan.
Perlu diingatkan tentera ini hanya mengurus dan memohon peruntukan dan kita ikut polisi kerajaan. Sebab itu kita telah memberi opsyen kepada pihak kerajaan mengenai penempatan anggota dan sebagainya dalam perkara ini,” katanya ketika melancarkan Konvoi Kumpulan Tempur TDM Sempena Sambutan Hari Tentera Darat (HTD) Ke-87 di sini hari ini.
Ahmad Hasbullah berkata TDM bersedia memberi pandangan dari aspek keselamatan dan optimis kerajaan bijak menangani dan menilai situasi sebenar keperluan perkara itu.
Rancangan pemindahan ibu kota negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan telah diumumkan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo berikutan bandar raya Jakarta yang semakin padat dengan jumlah penduduk kira-kira 10 juta orang.
Mengenai program konvoi itu, Ahmad Hasbullah berkata TDM memilih Sabah sebagai lokasi utama sambutan HTD ke-87 yang akan diraikan pada 1 Mac depan sejak 1933, dan akan menjelajah ke hampir semua bandar utama di Sabah termasuk Semporna, Lahad Datu, Beluran dan Kota Belud.
Sebanyak 29 kenderaan tempur dan logistik melibatkan aset TDM di Sabah terlibat dalam konvoi itu. – Bernama