M Update, 23/1/2020 – Kementerian Pengangkutan sedang berusaha untuk memastikan semua terminal pengangkutan bas awam di seluruh negara dapat melaksanakan sistem pembelian tiket menggunakan e-dompet, sekali gus menyokong agenda ‘cashless society’ atau masyarakat tanpa tunai yang didukung kerajaan.
Menterinya, Anthony Loke, berkata bagaimanapun, usaha itu akan dilaksanakan secara berperingkat memandangkan terdapat terminal yang masih belum melaksanakan sistem pembelian tiket secara berpusat (CTS).
“Kalau boleh kita mahu semua (terminal guna sistem tanpa tunai) tapi kita kena lihat juga kepada kemudahan yang ada dan keadaan di terminal, jadi yang belum ada kemudahan CTS mungkin sukar untuk kita bagi satu tempoh masa,” katanya.
Loke berkata, untuk syarikat bas terutama bas henti-henti yang mendapat subsidi daripada kerajaan, mereka disyarat melaksanakan sistem pembelian tiket tanpa tunai dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat. Beliau juga yakin syarikat bas ekspres yang melalui destinasi utama turut dapat melaksanakan usaha ‘cashless’ ini kerana beberapa terminal bas utama di negara telah pun mengamalkan sistem pembelian tiket tanpa tunai.
Buat masa ini, antara terminal yang mengamalkan pembelian tiket tanpa tunai adalah Terminal Amanjaya di Ipoh, Perak, serta TBS yang baru melancarkan sistem pembelian menggunakan e-dompet semalam.
“Minggu lepas saya berada di sebuah terminal di Meru, Ipoh (Terminal Amanjaya) juga mengamalkan sistem (e-dompet) ini. Saya memberikan cabaran kepada pihak pengurusan TBS pada minggu lepas sebab Ipoh telah perkenalkan e-dompet untuk pembelian tiket, mengapa TBS belum.
“Jadi, dalam tempoh seminggu mereka telah meminta pengendali e-dompet untuk integrasikan sistem tiket mereka, dan hari ini mereka berjaya melancarkan e-dompet untuk pembelian tiket di kaunter dan di kiosk,” katanya, sambil menambah tiga pengendali platform e-dompet itu adalah Boost, Touch ‘n Go serta GCash.
“Ini memang sesuatu yang amat kita galakkan kerana pada tahun ini, Kementerian Pengangkutan memberikan fokus kepada agenda pendigitalan terhadap perkhidmatan pengangkutan dan kita mengharapkan sistem pengangkutan awam dapat menyokong agenda ini supaya mereka dapat mengintegrasikan sistem tanpa tunai dan e-dompet ini dalam sistem tiket mereka sekali gus memudahkan urusan,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata pada tahun ini Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah memberi kelulusan Lesen Perubahan Sementara tambahan kepada 316 bas tambahan sempena Tahun Baru Cina.
Selain itu, TBS juga mencatatkan kira-kira 200,000 penumpang yang menggunakan terminal itu sempena sambutan Tahun Baru Cina, peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding tahun lepas. – BERNAMA