Di dalam sesebuah negara, kemakmurannya bergantung kepada keseimbangan menyeluruh terhadap persekitaran yang aman, aktiviti sosio-ekonomi yang mapan, hubungan masyarakat yang stabil, kemajuan prasarana yang memenuhi keperluan penduduk serta keupayaan memelihara kelangsungan kehidupan rakyat seharian. Prasyarat utama kepada kemakmuran sesebuah negara adalah keadaan aman dan selamat yang mengizinkan keseimbangan tersebut mengambil tempat. Tanpa jaminan keamanan dan keselamatan, kemakmuran sesebuah negara amat sukar untuk di capai.
Keadaan aman dan selamat sesebuah negara boleh dilihat terhadap ancaman-ancaman secara luaran mahupun dalaman ke atas negara tersebut serta keupayaan untuk menangani ancaman-ancaman tersebut serta risiko natijah yang berpotensi timbul akibatnya. Ancaman kepada sesebuah negara bukan hanya boleh merencatkan kelangsungan negara tersebut malahan boleh menjadi halangan untuk ia bergerak maju. Rencatan dan halangan ini mampu menyebabkan perancangan negara tergendala dan kemajuan di pelbagai bidang terjejas. Malahan sekiranya keadaan aman bertukar menjadi situasi sebaliknya, negara tersebut boleh terjerumus ke dalam kancah krisis seperti situasi ketenteraman awam, peperangan dan rusuhan di kalangan rakyat.
Dalam konteks Malaysia, keadaan selamat dan aman adalah sangat relatif dengan kemakmuran yang dinikmati. Sejarah membuktikan kemajuan dan kemakmuran negara tergendala disebabkan berlakunya situasi tidak selamat di dalam negara akibat ancaman pengganas komunis. Ancaman ini telah menyebabkan keadaan takut dan gelisah kepada rakyat untuk keluar melaksanakan aktiviti seharian. Keadaan takut dan gelisah ini disebabkan perasaan terancam dengan tindakan-tindakan kekerasan oleh pengganas komunis yang mengancam nyawa dan harta benda rakyat. Namun sejarah Malaysia juga telah menunjukkan, apabila ancaman dari tindakan keganasan oleh pengganas komunis telah di neutralkan dengan jayanya, negara mampu mempertingkat kemakmuran secara seimbang dalam pelbagai aspek. Selepas perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaysa pada 20 Disember 1989, keadaan aman dan makmur dapat berkembang mekar kerana ancaman keselamatan yang menghantui rakyat mula berlalu pergi. Dekad 1990an menyaksikan Malaysia mula bangkit selaku salah satu Harimau Asia yang mula bersaing secara menyeluruh dalam pelbagai bidang di persada antarabanga. Negara kembali stabil dengan banyak inisiatif pembangunan dapat dilaksana dengan berkesan oleh Kerajaan serta penglibatan aktif oleh rakyat di dalam memakmurkan negara. Kemakmuran ini diteruskan perancangannya dengan kerajaan memperkenal Wawasan 2020, dengan mensasarkan Malaysia menuju sebuah negara Maju. Bertitik tolak dari pandangan jauh ini, kemakmuran negara terus berkembang dengan keadan negara yang aman dan selamat membolehkan ianya berlaku sehingga kini. Kemakmuran ini dapat dicapai apabila keadaan aman telah membolehkan kemajuan menyeluruh dapat di pacu di pelbagai sektor dalam negara. Pembangunan dalam bidang sosial, ekonomi, pendidikan, industri, teknologi, infrastruktur, kesihatan, pelancongan dan banyak lagi dapat berlaku hasil dari kemakmuran yang dicapai.
Kemakmuran yang di nikmati oleh Malaysia bukanlah sesuatu yang mutlak dan bersifat kekal. Ancaman yang boleh mengganggu gugat kestabilan sesebuah negara termasuk Malaysia akan kekal wujud. Ancaman tradisional yang bersifat hubungan antara negara sentiasa relevan khususnya dari kontek geo-strategik serantau. Sebagai contoh Malaysia masih berhadapan situasi pertikaian wilayah di Laut Cina Selatan, tingkah laku negara kuasa besar dunia serta penentuan garis sempadan dengan negara-negara jiran. Keadaan ini menuntut Malaysia agar sentiasa siap siaga samada dalam pengurusan hubungan diplomatik di antara negara serta pada masa sama mengekal keupayaan melaksana tindakan mempertahan serta memperkukuh hak dan kedaulatan wilayah negara. Ancaman bukan tradisional kepada Malaysia pula makin berkembang dari segi pertambahan bidang serta isu yang menyentuh kepentingan rakyat secara langsung. Ianya meliputi dan tidak terhad antaranya berkaitan perihal seperti keselamatan siber, perubahan iklim, keselamatan makanan, migrasi, bencana, keseimbangan sosial, jenayah, penyalahgunaan dadah, ekstremisme agama dan hubungan antara kaum. Kepelbagaian ancaman bukan tradisional ini mula mendominasi landskap keselamatan Malaysia pada ketika ini.
Dalam hubungan ini, ancaman keselamatan kepada negara seumpama gerakan keganasan bersenjata yang lampau masih wujud, namun pada tahap yang terkawal dan skala yang kecil. Ini disebabkan keupayaan kerajaan mengangani ancaman-ancaman dalaman dan luaran secara berkesan melalui mekanisme yang sentiasa terkemaskini serta terancang. Namun seiring dengan perkembangan semasa, ancaman-ancaman baharu mula muncul dan mengambil tempat. Ancaman tradisional walaupun sentiasa relevan dan kekal wujud, dominasi dan risiko dari ancaman bukan tradisional mula mengambil tempat dengan pantas. Sekiranya negara dan rakyat tidak peka dan bersedia, ancaman yang wujud secara diam jika tidak di tangani awal berpotensi melarat dan berisiko menjadi di luar kawalan. Pepatah “Air tenang jangan disangka tiada buaya” amat tepat di dalam menggambarkan risiko dari ancaman bukan tradisional ini. Situasi ini menunjukkan ancaman keselamatan kepada kewujudan serta kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat masih perlu di beri perhatian di segenap lapisan masyarakat.
Mendepani cabaran terhadap ancaman keselamatan ini sama ada ancaman tradisional mahupun ancaman bukan tradisional, terletak kepada kesediaan setiap lapisan masyarakat mengambil tanggungjawab bersama untuk berhadapan dan menanganinya. Tangggungjawab memelihara keselamatan negara tidak terletak semata-mata kepada Kerajaan dan Pasukan Keselamatan. Tanggungjawab ini perlu digalas bersama baik oleh rakyat jelata, institusi negara dan pimpinan negara. Malaysia negara kita, maka ia juga menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankannya. Tahap kesediaan untuk bertanggungjawab kepada negara terletak kepada semangat patriotism dan kesediaan rakyat untuk mengambil tindakan mempertahankannya. Daya tahan dan iltizam rakyat untuk bekorban demi negara adalah suatu perkara yang subjektif dan tiada kayu pengukur yang jelas. Tahap daya tahan dan iltizam rakyat sesebuah negara adalah berbeza-beza. Namun ianya boleh dibentuk melalui penjanaan minda pemikiran yang sentiasa meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi. Tahap iltizam serta daya tahan rakyat Malaysia perlulah sentiasa di gembeleng agar apabila tiba masa ia diperlukan, kesepaduan rakyat mempertahankan negara tidak boleh dipertikai. Semangat cintakan negara perlu di semarakkan pada sebilang masa di kalangan rakyat di dalam menjaga kemakmuran negara secara bersama.
Walaupun zaman berubah, teras kepada kemakmuran negara masih terletak kepada keupayaan untuk ia wujud dengan aman serta berupaya menangani ancaman dihadapi. Sama ada ancaman itu wujud hari ini, mahupun berpotensi muncul dan berkembang pada masa hadapan, Malaysia harus bersedia menghadapinya secara bersama dengan menggembeleng usaha Kerajaan dengan sokongan dari rakyat. Pandangan kehadapan tentang perihal ini nyata telah terangkum di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama. Wawasan Kemakmuran Bersama ini sangat relevan terhadap pengukuhan teras kepada persekitaran Malaysia yang mampu bergerak menuju sebagai sebuah negara Maju. Keseimbangan dalam tindakan memastikan setiap lapisan rakyat dapat menikmati kemakmuran ini secara bersama. Keadaan ini hanya dapat dicapai dengan memastikan kemakmuran negara bergerak seiring dengan persekitaran yang aman dan selamat. Hanya negara yang aman mampu membolehkan kemakmuran berlaku dan berkembang mekar. Menikmati kemakmuran negara harus datang bersama dengan sumbangan serta tanggungjawab untuk memastikan keamanan serta keselamatan negara dipikul bersama oleh setiap lapisan masyarakat. Menikmati kemakmuran negara harus seimbang dengan kesediaan untuk memastikan kemakmuran ini terjamin melalui rasa tanggungjawab kepada Negara serta kesediaan untuk menyumbang kepada kemakmuran. Berkorban untuk negara boleh datang dalam pelbagai bentuk dan rupa, dan setiap rakyat pasti mampu menyumbang sesuatu di dalam memastikan keamanan serta kemakmuran Malaysia kekal berterusan. Keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama dan pemikiran ini harus di mantapkan di dalam sanubari setiap rakyat Malaysia yang cintakan negaranya.
Justeru, Keselamatan Negara adalah amat penting untuk memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama dapat dicapai sebagaimana dihasratkan. Keselamatan dan Kemakmuran yang seimbang perlu di peroleh agar kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara yang kekal berdaulat dengan rakyatnya berkambang maju di dalam pelbagai bidang terjamin. Jaminan terhadap keadaan ini memerlukan tindakan bersama di kalangan rakyat di dalam mendokong dasar dan inisiatif kerajaan di dalam memastikan Keselamatan Negara berada pada tahap terbaik. Tahap terbaik keselamatan negara adalah di mana rakyat jelata dapat melaksanakan aktiviti seharian dengan rasa selamat dan bebas dari risiko ancaman yang boleh mengganggu gugat kelangsungan hidup. Untuk mencapai tahap terbaik ini memerlukan komitmen padu dari setiap pihak di dalam negara, agar perancangan, tindakan dan penambah baikan dapat dilaksana secara berterusan dan menyeluruh. Di sinilah Keselamatan Negara dan Wawasan Kemakmuran Bersama saling lengkap melengkapi untuk manfaat generasi hari ini dan generasi yang akan mewarisi negara bertuah ini. Semoga Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, makmur dan berdaulat.
Ibnu Muhsin
Putrajaya 2020