M Update, 12/2/2020 – Kerajaan tidak bercadang memanjangkan tempoh inkubasi daripada 14 kepada 24 hari terhadap pesakit positif jangkitan covid-19 seperti yang diperoleh dalam data penyelidikan di China.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata menurut pakar di negara ini, pertambahan tempoh inkubasi itu akan memberi pelbagai implikasi kepada pesakit berkenaan.
“Mereka (pakar) mengatakan itu satu perkara yang sukar untuk diterima pada ketika ini. Pelbagai penyelidikan sedang dilakukan dan akan dikeluarkan, dibentangkan serta dikomunikasikan nanti.
“(Pendirian inkubasi) adalah sementara sehingga kami dapat pengesahan dari pakar dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (mengenai pengesahan penyelidikan terbabit),” katanya dalam sidang media selepas sidang video bersama Menteri Kesihatan Singapura, Gan Kim Yong.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan data terbaru berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit covid-19 mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.
Kajian oleh sekurang-kurangnya 36 penyelidik dari hospital dan institusi perubatan di China itu, mendapati kurang separuh daripada mangsa terbabit menunjukkan simptom dijangkiti virus itu apabila pertama kali bertemu doktor.
Ketua Penyelidik, Dr Zhong Nanshan, yang juga pakar epidemiologi China, yang bertanggungjawab menemui coronavirus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, berkata penemuan terbaru itu membuktikan masih banyak yang belum diketahui mengenai 2019-nCoV.
Pesakit yang terbabit dalam penyelidikan itu merangkumi mereka yang mendapat rawatan di 552 hospital dalam 31 wilayah antara 1 hingga 29 Januari lalu, yang mana hanya 1.18 peratus ada hubungan langsung dengan hidupan liar disyaki menjadi punca virus itu.
Hampir satu pertiga daripada mereka pernah mengunjungi Wuhan dan 71.8 peratus ada hubungan dengan seseorang dari Wuhan yang menjadi punca wabak itu, sekali gus membuktikan jangkitan antara manusia kepada manusia. – BH Online