M Update, 14/2/2020 – Tiada rakyat Malaysia yang ditahan di mana-mana hospital di China untuk mendapatkan rawatan lanjut ekoran penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) di negara berkenaan.
Mengesahkan perkara itu, Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata, kedutaan yang berpangkalan di Beijing bekerjasama rapat dengan kerajaan negara itu untuk mendapatkan maklumat terkini perkembangan membabitkan rakyat Malaysia.
Menurutnya, kerajaan China menerusi Presiden XI Jinping juga sudah memberikan jaminan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu dijaga dengan baik sama seperti warga mereka.
“Hubungan diplomasi kukuh antara negara membolehkan maklumat berkaitan wabak berkenaan diperoleh dan rakyat Malaysia dijamin diberikan layanan adil sekiranya apa saja yang berlaku di negara ini (China).
“Kedutaan Malaysia juga sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia yang masih berada di China untuk memastikan mereka selamat dan membantu sekiranya berdepan sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Nurshirwan berkata, setakat ini 57 rakyat Malaysia yang terdiri daripada penuntut, pekerja dan pelancong masih berada di Wuhan, Hubei namun mereka disahkan berada dalam keadaan baik. Katanya, pegawai kedutaan juga sentiasa memantau perkembangan terkini rakyat Malaysia yang masih berada di China untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara khususnya sepanjang tempoh krisis ini.
Pada 4 Februari lalu, pasukan peninjau dari Beijing membawa pulang 107 individu terdiri daripada 87 rakyat Malaysia dan 20 bukan warga negara menaiki pesawat khas dari Wuhan. Jumlah kematian akibat Covid-19 di China meningkat kepada 1,483 orang namun jumlah jangkitan terbaharu di wilayah Hubei berkurangan selepas berlaku perubahan dalam definisi kes hingga menyebabkan peningkatan sebelum ini.
Lebih 64,600 orang di China dijangkiti wabak itu selepas dipercayai bermula di pasar hidupan laut dan haiwan di Wuhan kini sudah menular ke 25 negara termasuk Malaysia. – HM Online