M Update, 18/2/2020 – Pengurusan Hospital Kota Tinggi meminta bantuan orang awam bagi mengesan waris tiga pesakit warga emas yang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Jurucakap hospital itu berkata, ketiga-tiga pesakit itu dimasukkan ke wad kira-kira dua bulan lalu dan sehingga kini belum ada menuntutnya selepas mereka dilaporkan sihat dan sudah dibenarkan pulang. Katanya, Mohamed@ Muhammad Omar, 71, mula mendapatkan rawatan untuk sakit ‘spondylodiscitis’ sejak 5 Disember tahun lalu dan kini ditempatkan di wad isolasi Hospital Kota Tinggi.
“Mohamed mempunyai dua anak perempuan yang sudah berkahwin, manakala isterinya dimaklumkan sudah meninggal dunia dengan alamat terakhirnya di Blok Saroja, Kota Damansara, Petaling jaya, Selangor.
“Seorang lagi pesakit, R Raju, 63, pula mendapatkan rawatan sejak 21 November tahun lalu kini ditempatkan di wad sama. Raju mempunyai tujuh anak hasil perkongsian hidup bersama bekas isteri dengan alamat terakhirnya di Jalan Duku, Taman Tiram Baru, Ulu Tiram, selain lebih dua bulan berada di hospital ini bagi mendapatkan rawatan untuk sakit ‘bilateral hernia’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pesakit ketiga iaitu Asmah Rosli, 59, mula mendapatkan rawatan bagi ‘decompensated CCF’ sejak 7 November tahun lalu dan kini ditempatkan di Wad Melur perempuan perubatan Hospital Kota Tinggi.
“Asmah yang beralamat di Lorong 10, Jalan 9/11 Perjiranan 9, Taman Air Biru, Pasir Gudang, mempunyai seorang anak hasil perkongsian hidup bersama bekas suami.
“Sebarang maklumat lanjut mengenai waris mereka boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Kerja Sosial Perubatan, Noor Amirah Mohd Salleh di talian 07-8831131 (sambungan 209).
“Selain itu, boleh hubungi wad isolasi di talian 07-8831131 (sambungan 211), manakala bagi Wad Melur perempuan perubatan di talian 07-8831131 (sambungan 210),” katanya. – HM Online