M Update, 25/2/2020 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menyelaraskan ketibaan dan kemasukan 100 warga Malaysia iaitu anak kapal persiaran World Dream yang berlabuh dengan status kuarantin di Tanjung Pengelih, Johor.
Semua anak kapal warganegara Malaysia itu diturunkan dari kapal dan dibuat saringan kesihatan pada 22 Februari 2020 sebelum dibawa ke Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Kampus Wilayah Selatan (Ikwas), Kluang, Johor untuk tujuan persampelan dan pemerhatian bagi ujian pengesahan Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil pemeriksaan kesihatan yang dijalankan mendapati semua 100 anak kapal itu tidak mempunyai gejala dan keputusan ujian pengesahan Covid-19 yang diterima pada 23 Februari lalu.
“Mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dengan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah masing-masing 14 hari daripada tarikh mereka memasuki Malaysia.
“Perjalanan pulang anak kapal ini ke tempat masing-masing juga diaturkan sama ada diambil oleh ahli keluarga mereka atau menggunakan kemudahan bas yang disediakan,” katanya.
Menurutnya, jabatan kesihatan negeri dan pejabat kesihatan daerah dimaklumkan berhubung anak kapal itu dan pemantauan kesihatan harian akan dijalankan ke atas mereka.
“Anak kapal ini dinasihatkan mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah yang juga perintah mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawasan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Wakil perubatan kapal persiaran itu juga memuji tindakan kerajaan membawa pulang anak kapal warganegara Malaysia dan memaklumkan proses saringan kesihatan yang dijalankan teratur dan dikoordinasikan dengan begitu baik dan lancar,” katanya.
Sumber : HM Online