M Update, 9/3/2020 – Akibat melemparkan kata-kata ‘bodoh polis bodoh’ kepada anggota polis menerusi rakaman video yang di muat naik dalam laman sosial Instagram, seorang suri rumah didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.
Hukuman itu diperintahkan Majistret Nor Izzati Zakaria selepas tertuduh, Aini Syanina Ismail, 23, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya. Tertuduh yang tinggal di Felda Lepar di sini mengaku telah merakamkan video terbabit dengan menyebut perkataan kurang sopan itu dan memuat naik dalam Instagram miliknya.
Aini Syanina mengaku mempunyai alasan mengeluarkan perkataan tersebut terhadap anggota polis, Inspektor Faizal Basri yang sedang menjalankan tugas rasminya di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, jam 4.30 pagi pada 12 Januari lalu. Dia didapati bersalah mengikuti Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, penjara atau kedua-duanya sekali.
Aini Syanina yang tidak diwakili peguam meminta mahkamah meringankan hukuman kerana dia tidak bekerja, manakala suaminya hanya pekerja ladang dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya, Ker Oi E.