M Update, 13/3/2020 – Penggunaan cecair pembasmi kuman beralkohol boleh dibawa solat kerana hukumnya adalah harus dan dimaafkan, demikian menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Perkara itu dijelaskan melalui portal rasmi pejabat mufti itu semalam, yang menjawab kemusykilan masyarakat Islam sekiranya pembersih tangan beralkohol dikira najis kerana mengandungi alkohol.
Menurut portal itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa alkohol yang tidak melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum, berbanding alkohol daripada proses pembuatan arak yang hukumnya adalah haram dan najis.
“Ini jelas seperti yang diputuskan Muzakarah bahawa ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan,” katanya.
Pejabat mufti itu juga menyatakan bahawa pelaksanaan menjaga kebersihan merupakan faktor utama bagi mengurangkan risiko jangkitan virus susulan penularan COVID-19 kebelakangan ini.
Ia selari dengan nasihat Kementerian Kesihatan kepada masyarakat untuk menjaga kebersihan diri seperti sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi contohnya kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, atau menggunakan cecair pembasmi kuman. BERNAMA