M Update, 9/4/2020 – Seorang gadis berusia 15 tahun dilaporkan hilang ketika keluar ke kedai runcit berhampiran rumahnya di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang di sini, sejak Isnin lalu.
Pelajar Tingkatan Tiga, Nor Aleeya Natasha Mohd Nazre, 15, dikatakan keluar seorang diri ke kedai runcit berkenaan dengan menaiki motosikal milik kakaknya kira-kira 6.30 petang, 6 April lalu. Kakaknya, Siti Nazira, 23, berkata Nor Aleeya keluar dari rumah tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan hanya ditemani seekor anak kucing miliknya.
“Petang Isnin lalu, adik hanya beritahu emak hendak keluar membeli panadol dan emak suruh dia keluar cepat kerana bimbang kedai tutup.
“Kami sekeluarga mula risau selepas mendapati dia tidak pulang ke rumah sehingga tengah malam dan cuba mencarinya, namun hanya menemui motosikal dinaikinya di kawasan kebun sawit dalam keadaan tidak berkunci,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nazira berkata, terdapat saksi yang mengatakan terdengar suara jeritan di lokasi motosikal berkenaan ditemui pada malam kejadian adiknya dilaporkan hilang. Katanya, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Bedong, Selasa lalu, selepas mereka gagal mengesan anak keempat dari tujuh beradik itu.
“Kami tidak tahu hendak cari dia di mana lagi, dia sendiri tidak mempunyai telefon bimbit untuk dihubungi. Kami sangat risau dengan keadaannya memandangkan dia tidak pernah keluar seorang diri, biasanya Nor Aleeya akan keluar bersama kembarnya Nor Aleeya Najwa sahaja,” katanya.
Nazira merayu pada sesiapa yang menemui Natasha diminta menghubunginya di talian 018-9429603 atau melaporkan di mana-mana balai polis terdekat. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan gadis berkenaan dan siasatan lanjut mengenainya masih dilakukan. – BH Online