Input your search keywords and press Enter.

Sambung Atau Tidak PKP, Bergantung Nasihat KKM

M Update, 15/4/2020 – Keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersambung atau tidak hingga Jun ini, bergantung kepada nasihat diberikan Kementerian Kesihatan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pada masa ini, masih ada baki tiga peratus kumpulan yang ingkar dengan arahan itu.

“Malah, semalam memang ada penurunan jumlah pematuhan tetapi tidak sampai satu peratus. Ada kawasan berlaku pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya dan polis sudah mengambil tindakan tegas dan tidak lagi akan berkompromi.

“Mengenai cadangan PKP mungkin sehingga Jun, saya kira itu pandangan Ketua Polis saja berdasarkan perkembangan pematuhan peraturan PKP itu tetapi sama ada diteruskan atau tidak semuanya atas nasihat Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang akhbar harian pelaksanaan PKP di Putrajaya dekat sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kadar pematuhan masih kekal pada 97 peratus walaupun berlaku sedikit penurunan semalam. Katanya, sebanyak 799 sekatan jalan raya diadakan di seluruh negara semalam dengan 545,182 kenderaan diperiksa, manakala 59,590 pemeriksaan mengejut di 6,907 premis.

“Seramai 612 individu ditahan semalam dengan 590 direman manakala 15 orang dibebaskan dengan jaminan polis. Setakat ini, 337 individu dituduh di mahkamah kerana mengingkari arahan PKP dengan jumlah keseluruhan ditahan adalah 9,702 individu,” katanya. – BH Online

Leave a Reply