“Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kluster baru di Sendayan. Kita terperangkap, ada lagi rupanya segelintir masyarakat yang tidak faham peri pentingnya hindari perhimpunan dan jaga jarak. Jika itulah pilihan mereka menghadiri kenduri, ada kematian, ada pertambahan sakit, kita hanya mampu berdoa semoga mereka memperolehi kebaikan dan kita berusaha supaya mereka yang dijangkiti virus Covid-19 itu segera sembuh”.
Saya tergamam di pagi hari menerima whatsapp tersebut. Saya memahami kekecewaan beliau akan sikap masyarakat yang kurang peduli dan saya memahami juga semangat beliau untuk memastikan rakyat selamat, negara selamat dan kehidupan rakyat pulih seperti sediakala.
Kluster Ramadan
Kini kebimbangan saya berputar-putar apakah akan ada lagi kluster baharu menjelang Ramadan ini? Sudah menjadi adat resam dan amalan orang Melayu sejak sekian lama, beberapa hari sebelum Ramadan, kenduri doa selamat diadakan. Doa selamat dibaca untuk meraikan kedatangan bulan Ramadan.
Ianya memang amalan mulia sejak turun-temurun kerana ketika itulah saling bermaaf-maafan, bertanya khabar dan sebagainya. Namun, di ketika pandemik Covid-19 sedang bermaharajalela, masyarakat tidak peduli kah?
Biasanya di kala kenduri doa selamat, saudara sepupu sepapat pak cik mak cik jiran tetangga imam ahli kariah ahli surau dijemput datang ke rumah. Salam bersalam, rapat-merapat, sembang-bersembang dan juadah dimakan bersama. Sungguh indah budaya kita sejak turun-temurun.
Di kala kelok Covid-19 di negara kita ada tanda-tanda penurunan kes, dan tatkala masyarakat antarabangsa mengiktiraf Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sebagai antara 3 doktor terbaik dunia dalam pengurusan Covid-19 ini, kebimbangan timbul semula jika acara kenduri doa selamat menjelang Ramadan menjadi kluster baharu.
Apakah kita akan menyaksikan catatan sejarah kluster baharu di Tawau, kluster Ramadan di Klang, Jenjarum, Puchong dan sebagainya?
Apakah PKP atau PKPD tidak dapat menghalang keegoan dan kemahuan sesetengah masyarakat melaksanakan amalan rutin menjelang Ramadan mengadakan kenduri doa selamat? Mengabaikan PKP dan mementingkan diri sendiri?
Saya menyeru dan merayu, anak-anak beritahulah orang tua, ketua-ketua masyarakat beritahulah anak-anak buah di kampung dan di taman, di kariah dan di pergunungan, di kota dan di metropolitan, bahawa kenduri doa selamat buatlah sendiri-sendiri di dalam rumah, tidak usahlah jemput orang bertandang ke rumah, biarlah si ayah membacanya, si abang membacanya, kita-kita sahaja bak kata Perdana Menteri ‘kita jaga kita’.
Sekianlah, kali ini biarlah tulisan saya ini pendek sahaja. Yang penting mesej sampai.
KLIA, 15.04.2020