Pemandu Mabuk Tak Akan Dikenakan Hukuman Mati? Ini Jawapan Menteri

Foto Hiasan

M Update, 13/04/2026 – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan tiada keperluan untuk memperkenalkan hukuman mati di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) bagi kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Menurut beliau, peruntukan undang-undang sedia ada sudah mencukupi, termasuk membolehkan kes serius didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh, sekiranya memenuhi kriteria.

Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia telah menghentikan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi beberapa kesalahan berat, dan kerajaan tidak berhasrat untuk mengembalikan pendekatan tersebut bagi kesalahan berkaitan.

“Ketika ini, hukuman mati mandatori telah dimansuhkan, justeru perkara itu tidak berada dalam pertimbangan kerajaan,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan memberi fokus kepada usaha memperkukuh APJ, khususnya bagi memastikan waris mangsa menerima pampasan dengan lebih cepat tanpa perlu melalui proses sivil yang panjang.

Anthony Loke berkata, pindaan terhadap akta tersebut sedang dirangka dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Jun ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli, memaklumkan bahawa hukuman bagi kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah mungkin perlu diperketatkan, walaupun pindaan telah dilakukan pada tahun 2020.

Sumber: BH