M Update, 5/6/2020 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat lagi lelaki Myanmar, yang disyaki mendalangi penyeludupan 202 etnik Rohingya ke negara ini, menerusi perairan Langkawi pada 5 April lalu.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly, berkata mereka ditahan hasil siasatan terhadap dua lelaki warga negara sama yang sebelum ini ditahan pada 16 dan 18 April lalu di Simpang Empat dan Guar Chempedak dekat Yan.
Keempat-empat suspek berumur 24 hingga 53 tahun itu ditahan secara berasingan pada Ahad di Simpang Empat dan Kota Sarang Semut, di sini serta di daerah Pendang.
“Kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam sidang media di sini.
Maritim Malaysia masih memburu dua lagi suspek yang telah dikenal pasti menjadi dalang utama mengatur kemasukan pendatang asing khususnya etnik Rohingya ke negara ini.
Zulinda berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penglibatan rakyat tempatan dalam sindiket itu, bagaimanapun, perkara itu masih dalam siasatan. -Bernama