Input your search keywords and press Enter.

Solat Di Masjid, Surau WP Dibenarkan Kapasiti Penuh

M Update, 18/03/2021 – Bilangan jemaah bagi solat fardu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter (m) berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata ketetapan baharu itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Katanya, bilangan jemaah bagi solat Jumaat turut diperluas ke semua ruang sesuai di masjid, surau Jumaat dan surau diberi kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat termasuk kawasan berkhemah dengan penjarakan fizikal 1.5 m.

“Masjid dan surau di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenar mengadakan aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah dhuha dan sebagainya dengan penjarakan fizikal 1.5 m,” katanya satu kenyataan,

Sementara itu, beliau berkata bagi aktiviti pengimarahan Ramadan, solat sunat Tarawih dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 m dan dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan bacaan surah atau ayat pendek.

Tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat Tarawih. Tadarus al-Quran boleh dilaksanakan dengan jumlah peserta separuh atau 50 peratus daripada kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 m. Qiamullail boleh dilaksanakan 30 minit sebelum waktu imsak. Pembayaran zakat fitrah secara manual atau pembayaran terus kepada amil dibenarkan di samping pembayaran secara dalam talian atau kaedah yang ditetapkan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya.

Mohd Ajib berkata, jamuan berbuka puasa atau iftar tidak dibenarkan tetapi jawatankuasa kariah digalakkan memberi sumbangan berbuka puasa kepada golongan memerlukan dan barisan hadapan secara berbungkus serta dihantar terus kepada penerima. Beliau berkata, moreh tidak dibenarkan tetapi jawatankuasa kariah boleh menyediakan makanan secara berbungkus selepas solat Tarawih untuk dibawa pulang jemaah.

Katanya, semua ketetapan terbaharu itu tertakluk kepada garis panduan ditetapkan serta prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM). – BERNAMA