M Update, 15/5/2020 – Keputusan berhubung kebenaran perlaksanaan aktiviti keagamaan di rumah ibadat selain agama Islam akan diketahui selewat-lewatnya Selasa depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kabinet sudah mengarahkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berbincang dengan pemimpin lima agama terbesar di negara ini berhubung prosedur operasi standard (SOP) untuk membolehkan aktiviti keagamaan dibenarkan di rumah ibadat seperti gereja, kuil, tokong dan sebagainya.
Katanya, difahamkan pembentangan SOP dan peraturan itu akan dibuat seawal esok oleh menteri berkenaan.
“Menteri berkenaan sudah diarahkan untuk melihat dan berbincang bagaimana agama lain juga dapat diberikan kelonggaran berikutan masjid sudah dibenarkan kembali beroperasi,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.
Lima agama itu adalah Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan Toisme.