M Update, 9/6/2020 – Keputusan sama ada Malaysia akan menghantar jemaahnya bagi menunaikan haji untuk tahun ini akan diketahui, pada Khamis ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata selain isu haji, beliau juga akan mengumumkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) solat jemaah dan solat Jumaat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Difahamkan, pengumuman mengenai penghantaran jemaah haji itu akan dibuat dalam satu sidang khas selepas sidang media harian oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pada 21 Mei lalu, Dr Dzulkifli dilaporkan berkata kerajaan Arab Saudi belum membuat sebarang pengumuman sama ada umat Islam dibenarkan untuk menunaikan haji pada musim ini atau sebaliknya. Menurut beliau, sekiranya mendapat kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi, perkara itu akan dibincangkan dengan semua pihak bagi mencari pendekatan terbaik berhubung perkara itu.
Terdahulu, media melaporkan beberapa negara seperti Indonesia dan Singapura memutuskan untuk tidak menghantar jemaahnya pada tahun ini. Keputusan itu dibuat atas alasan kesihatan dan keselamatan jemaahnya ketika pandemik COVID-19 sedang mengancam penduduk di seluruh dunia. – BH Online