M Update, 6/8/2020 – Lelaki warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang sebelum ini mencetuskan provokasi dalam dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ terbitan Al Jazeera akan dihantar pulang ke negara asalnya paling awal 31 Ogos ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata Md Rayhan akan disenarai hitam daripada memasuki negara ini serta pas lawatan kerjanya juga akan ditamatkan.
“Kita akan hantar dia pulang ke negara asal selepas selesai semua siasatan polis terhadapnya, saya difahamkan hasil siasatan oleh pihak polis juga sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara.
“Saya tidak boleh anggarkan bila dia akan dihantar pulang, tetapi kita dimaklumkan penerbangan paling awal ke Bangladesh adalah pada 31 Ogos ini,” katanya kepada pemberita, dalam sidang media, di sini semalam.
Pada 3 Julai lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia’s Lockdown dengan Md Rayhan Kabir dirakam mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam pengendalian kes COVID-19 membabitkan warga asing.
Pada 24 Julai lalu, Md Rayhan ditahan oleh Jabatan Imigresen ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang di Kuala Lumpur. Imigresen menahan Md Rayhan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.- BH Online