Input your search keywords and press Enter.

STRUKTUR ORGANISASI KUMPULAN ABU SAYYAF (KAS), AKTOR UTAMA INSIDEN KFR DI ESSZONE

Gambar Hiasan

Oleh ABDUL RASHID ABDUL HAMID

Setelah kematian pengasas KAS iaitu Aburajak Abubakar Janjalani pada tahun 1998 dalam satu pertempuran dengan pasukan keselamatan Filipina, KAS telah berpecah kepada 3 bahagian iaitu Kubu Basilan yang mula-mula sekali diwujudkan, Kubu Jolo dan Kubu Tawi-Tawi. Kematian beliau secara tidak langsung bukan sahaja mengubah struktur organisasi KAS itu sendiri tetapi juga matlamat asal penubuhan kumpulan itu. Kematian Aburajak Abubakar Janjalani menjadikan KAS lebih dibayangi dengan kegiatan jenayah malah kerajaan Filipina juga menganggap KAS ini sebagai Quasi Rebel dan Quasi Bandit. Ia membawa maksud KAS hanya menganggap tindakan dan kegiatan yang dilakukan mereka adalah untuk perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman Filipina tetapi hakikatnya, jenayah yang dilakukan hanyalah bermatlamatkan wang dan kemasyuhran semata-mata.

Kematian Aburajak Abubakar Janjalani ini telah digantikan dengan Khadaffy Janjalani sebagai ketua di Kubu Basilan manakala Kubu Jolo dipimpin oleh Ghalib Andang @ Komander Robot manakala Abdul Asmad memimpin Kubu Tawi-Tawi. Di Basilan, hanya tiga pemimpin KAS yang dikenalpasti masih aktif sehingga tahun 2018 iaitu Puruji Indama, Nurhassan Jamiri dan Khair Mundos manakala 8 yang lain sudah meninggal dunia. Masing-masing memainkan peranan yang berbeza apabila Nurhassan Jamiri bertindak selaku Sub Komander setelah komander sebelum ini (Isnilon Totoni Hapilon) meninggal dunia pada tahun 2017 dan 2 lagi berkerja di lapangan. Manakala dari segi gerak kerja, sekiranya sebelum ini Khadaffy Janjalani menggunakan pendekatan melakukan serangan berskala besar, tetapi pemimpin yang menggantikan Khadaffy ini lebih cenderung untuk melakukan serangan berbentuk KFR yang lebih mudah dan mendatangkan keuntungan yang lumayan.

Bagi kubu di Jolo, nama Ghalib Adang @ Komander Robot akan sentiasa diingati kerana beliau adalah orang yang bertanggungjawab dalam insiden KFR yang pertama di Pulau Pandanan pada tahun 2000. Menjadi komander di kubu ini sebaik sahaja kematian pengasas KAS, Komander Robot dikatakan telah membuat tanda nama dengan mengukir nama beliau di dinding resort tempat berlakunya penculikan. Beliau bagaimanapun meninggal dunia pada tahun 2005 dan tempat kedudukan komander di Jolo ini silih berganti bertukar orang. Sehingga kini hanya terdapat 3 individu yang menjadi orang terpenting di kubu Jolo ini yang masih aktif iaitu Hatib Hajan Sawadjaan, Indang Susukan @ Abu Jihad dan Angah Adji. Sama seperti di Basilan, kubu di Jolo jugak lebih cenderung melakukan penculikan kerana dipengaruhi oleh sikap Komander Robot yang lebih suka mendapatkan keuntungan dengan lebih cepat. Malah, sekiranya dilihat daripada sejarah serangan-serangan KFR di Sabah, kebanyakkan serangan KFR dilakukan oleh KAS yang dating daripada kubu di Jolo ini.

Gambar Hiasan

Pemimpin di kubu Tawi-Tawi pula tidak dapat dipastikan sehingga kini kerana Hadji Radhi Upao yang pernah menjadi komander sebelum ini tidak dapat diketahui statusnya, sama ada hidup ataupun mati. Dalam masa yang sama tiada laporan yang diterima menyatakan kubu di Tawi-Tawi menjalankan operasi KFR. Perkara ini menyebabkan Tawi-Tawi dikaitkan sebagai sekadar wilayah transit kepada ahli KAS yang melakukan KFR di Sabah. Dari segi keahlian juga, tiada angka jelas yang dapat dijadikan ukuran kerana ada sesetengah yang menghilangkan diri tanpa dapat dikesan. Cuma terdapat satu laporan yang menyatakan keahlian KAS sekitar 350 ke 400 orang sahaja pada tahun 2019.

Justeru, tiada ada hierarki yang jelas dalam KAS kerana sistem kumpulan yang kompleks. Walaupun di setiap kubu mempunyai ketua atau komander, tetapi tiada satu ketua yang mengetuai kubu-kubu ini seperti zaman Aburajak Abubakar Janjalani. Perpecahan yang berlaku dalam struktur organisasi KAS ini membawa kepada corak dan idea perjuangan yang berbeza tetapi matlamat akhir adalah sama iaitu keuntungan dengan cara mudah. Penulisan berikutnya akan membincangkan tentang Motif dan Sasaran KFR, Trend dan Pola Penculikan serta Lokasi Aktiviti KFR.

Penulis adalah pelajar PhD di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan artikel ini adalah sebahagian daripada kajian untuk tesis penulis serta tidak semestinya mewakili pendirian M-Update.