M Update, 17/8/2020 – Remaja lelaki berusia 19 tahun dijatuhi hukuman penjara sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Tertuduh didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato Keramat, hampir tiga tahun lalu.
Pada 28 Januari 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah memerintahkan remaja itu yang berusia 16 tahun ketika didakwa melakukan kesalahan berkenaan, membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, mahkamah melepas dan membebaskan seorang lagi individu yang seusia remaja itu, yang dituduh bersama-samanya tanpa dipanggil membela diri. Pada awalnya kedua-dua mereka dituduh secara bersama atas kesalahan membunuh, namun pertuduhan itu dipinda susulan keputusan pada akhir kes pendakwaan.
Menurut pertuduhan dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September 2017.
Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.
Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda atau pampasan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim sementara tertuduh diwakili peguam Haijan Omar. Seramai 71 saksi memberi keterangan semasa peringkat pendakwaan bermula pada 30 Mei 2018.
Tragedi menyayat hati itu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru yang terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan. – HM Online