M Update, 21/8/2020 – Semua penjawat awam khususnya badan beruniform atau memakai pakaian rasmi jabatan diingatkan supaya tidak menggunakan media sosial untuk berhibur ketika sedang bertugas atau berada di luar tugas.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, ia penting berikutan pihaknya mendapati terdapat penjawat awam yang memakai uniform jabatan masing-masing dan merakam video yang tidak senonoh, jelek serta berunsur negatif sebelum dimuat naik ke platform media sosial peribadi seperti TikTok, Instagram, YouTube dan Facebook.
Menurutnya, video jelek dan tidak senonoh seperti menari, menyanyi serta perkongsian hal-hal peribadi yang dirakam ketika berpakaian uniform menjadikan imej jabatan tersebut turut terpalit menjadi negatif. Katanya, ia merupakan aktiviti yang tidak sepatutnya dilakukan terutama jika masih dalam waktu bekerja, malah aktiviti atau tabiat itu juga tidak wajar dilakukan walaupun mereka di luar waktu bekerja kerana boleh menimbulkan persepsi negatif kepada perkhidmatan awam.
“Masyarakat di luar sana tidak mengetahui atau mengendahkan pun jika kita memberitahu rakaman video yang dimuat naik itu adalah di luar waktu kerja.
“Hal ini akan menimbulkan persepsi penjawat awam banyak melakukan aktiviti lain ketika waktu bekerja, sekali gus menjejaskan reputasi seta imej perkhidmatan awam itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Tambahnya, sebagai penjawat awam yang memakai uniform rasmi, mereka hendaklah menghormati jawatan yang disandang serta pasukan yang dianggotai.
“Setiap uniform atau pakaian rasmi jabatan mempunyai etika pemakaian masing-masing dan perlu dipatuhi serta dihormati tidak kira polis, tentera, penguat kuasa, jururawat, doktor atau penjawat awam biasa yang memakai baju korporat.
“Perkara ini juga tertakluk kepada semua penjawat awam lain walaupun tidak mempunyai atau memakai uniform rasmi jabatan. Sekiranya masih bertugas, elakkan daripada menggunakan media sosial untuk tujuan peribadi terutama merakam aktiviti yang dilakukan dan memuat naiknya untuk tontonan orang ramai,” katanya.
Adnan berkata, Cuepacs berharap nasihat ini dapat diterima dengan baik oleh semua penjawat awam di semua jabatan dan agensi kerajaan. Katanya, pihaknya juga menyambut baik langkah beberapa jabatan yang mengharamkan penggunaan media sosial semasa waktu bertugas atau memakai uniform jabatan.
“Dalam meraikan perkembangan media sosial, kita haruslah menjadi contoh kepada masyarakat awam dalam menggunakannya untuk tujuan yang baik. Apa yang lebih penting adalah khidmat kepada negara dan rakyat,” katanya. – SH Online