Input your search keywords and press Enter.

Operasi Gugur Bantuan Ke Utara Gaza

M Update, 22/03/2024 – Sumbangan rakyat Malaysia akhirnya bakal tiba kepada penduduk Gaza yang kini di ambang kebuluran setelah pintu masuk bekalan bantuan di sempadan Utara Gaza disekat rejim Zionis.

Sebanyak 480 kotak makanan hasil sumbangan rakyat Malaysia akan digugurkan (airdrop) ke utara Gaza, Palestin menggunakan pesawat kargo Tentera Udara Diraja Jordan, C130 dalam tempoh terdekat.

Misi berkenaan adalah hasil usaha sama badan bukan kerajaan Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM), Organisasi Kebajikan Hashimiyah Jordan (JHCO), Childcare Charity Association (CCCA) dan Tentera Udara Diraja Jordan.

Operasi ‘airdrop’ ini merupakan fasa ke-14 dalam kempen KHOM membantu Palestin sejak perang Oktober lalu ke atas Gaza.

KHOM, sebuah NGO tempatan berdaftar giat melaksanakan misi kemanusiaan di enam negara termasuk Jordan, Syria dan Palestin, antara lain bagi membantu para pelarian dan mangsa perang.

KHOM adalah NGO pertama Malaysia yang bakal melaksanakan misi menggugurkan bantuan makanan, yang kini menjadi satu-satunya pilihan yang ada bagi membantu penduduk Gaza. Selain itu, 200 kotak kit kebersihan diri akan dihantar menerusi trak – Pengarah Misi KHOM, Nik Marina Hussin

Bantuan dijangka tiba di utara Gaza dalam masa seminggu ini, susulan proses koordinasi yang perlu dilaksanakan oleh pihak tentera selain mengikut giliran, sesuai jadual penghantaran.

Diharapkan inisiatif KHOM ini akan membuka jalan kepada lebih banyak NGO Malaysia mendapatkan akses penghantaran bantuan ke utara Gaza.

Sumber : Bernama