M Update, 26/8/2020 – Buat julung kalinya, penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2020) akan dilaksanakan secara hibrid iaitu kombinasi fizikal dan maya selama empat hari bermula 26 November depan.
Bertemakan ‘Pertanian Penjana Ekonomi Negara’, pameran pertanian terbesar negara itu akan bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata penganjuran MAHA pada tahun ini berlainan dari sebelumnya kerana mengambil kira situasi penularan wabak pandemik COVID-19. Beliau berkata, MAHA 2020 perlu disesuaikan dengan keadaan semasa namun penuh aktiviti dan program apabila lebih 700 pempamer akan memeriahkan pameran itu.
“Apabila diumumkan penganjuran MAHA secara hibrid, saya percaya ramai yang ingin tahu apa itu MAHA hibrid. Kepada yang pernah mengunjungi MAHA sebelum ini, itu adalah konsep MAHA dilaksanakan secara fizikal.
“Tetapi untuk MAHA 2020, kita tambah elemen pelaksanaan dalam talian iaitu pameran secara maya atau virtual. Kombinasi fizikal dan maya inilah yang menjadikan konsep penganjuran MAHA 2020 secara hibrid. Pameran maya MAHA 2020, platofrm yang direka khusus bagi memenuhi keperluan perniagaan dan industri pertanian serta makanan secara dalam talian.
“Sama seperti apa yang ditawarkan oleh pameran fizikal, platform MAHA 2020 versi maya ini juga mampu untuk mengendalikan transaksi perniagaan sama ada bagi pasaran domestik mahupun luar negara.
“Pelbagai program disediakan seperti sesi perbincangan, padanan perniagaan, webinar, persidangan video serta promosi produk pameran boleh dipaparkan secara langsung seakan-akan pengalaman mengunjungi acara pameran fizikal,” katanya ketika berucap pada Pra-Pelancaran MAHA 2020 di MAEPS, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Pada sidang media, Ronald berkata tarikan MAHA kali ini adalah mengetengahkan sembilan fokus berkaitan teknologi bidang pertanian dan pemain industri dalam usaha menarik lebih banyak jualan termasuk padanan perniagaan. Sembilan fokus itu adalah perisian dan teknologi, pembekal input, syarikat pertanian, peniaga, pemproses, pengedar, logistik dan pengguna; perniagaan berkaitan industri lain, peranti data dan analisis serta automasi dan mesin.
Mengulas sasaran kehadiran pengunjung, Ronald berkata penganjuran MAHA 2020 yang mengadaptasi kebiasaan baharu susulan pandemik COVID-19 boleh menarik seramai 10,000 orang sehari secara fizikal. Sementara itu, di platform maya beliau berkata, lebih 100,000 penyertaan sekali gus apa yang disasarkan mampu menghasilkan lebih RM300 juta potensi nilai jualan termasuk padanan perniagaan berbanding RM215 juta tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, katanya bagi pengunjung yang ingin datang ke MAHA 2020 perlu mendaftar terlebih dahulu melalui laman web khas, dijangka dilancarkan pada hujung September depan.
“Pengunjung perlu mendaftar terlebih dahulu di laman web bagi mengelakkan kesesakan di lokasi pameran. Kita berusaha untuk meminimumkan pengunjung dalam usaha mengawal penyebaran COVID-19 atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Orang ramai juga boleh walk-in tetapi saya nasihatkan mereka lebih baik daftar terlebih dahulu. Untuk perhatian, kita hanya membenarkan pengunjung berusia 18 tahun ke atas,” katanya.
MAHA 2020 bukan sahaja disertai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, malah turut membabitkan penyertaan swasta dan badan korporat tempatan.
Selain pameran, terdapat juga seminar dan konvensyen berkaitan agromakanan. Disediakan juga tempat makanan popular dikenali Empayar Makanan dan tidak ketinggalan Farmer’s Market di mana 70 lot jualan akan disediakan untuk jualan hasil pertanian segar dari ladang pada harga berpatutan. – BH Online