M Update, 18/9/2020 – Gara-gara memberi suapan RM50 kepada seorang anggota polis, seorang buruh warganegara Bangladesh dipenjara tiga bulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Ariful, 41, yang juga seorang pekerja ladang sawit mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.
Mengikut pertuduhan, Ariful didakwa memberi suapan, iaitu wang tunai RM50 kepada seorang polis, Mohammad Azuan Ali yang bertugas sebagai Koperal di Balai Polis Slim River Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mualim, Polis Diraja Malaysia (PDRM). Perbuatan itu didorong untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang ditahan atas kesalahan memiliki rokok seludup mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Ariful melakukan kesalahan itu di hadapan Bank Simpanan Nasional Cawangan Slim River, Jalan Stesen, Kampung Manggis, di dalam Daerah Muallim, jam 9.45 malam, 6 September lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama dan boleh dikenakan maksimum 20 tahun penjara dan didenda maksimum lima kali ganda atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Nurul Wahida meminta tertuduh dikenakan hukuman berat memandangkan ia adalah kesalahan serius memberi rasuah kepada pegawai polis atas kesalahan berkaitan rokok seludup.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara selama tiga bulan bermula hari ini dan denda RM10,000. Tertuduh juga akan dikenakan penjara tambahan selama tiga bulan lagi sekiranya gagal bayar. – BH Online