Input your search keywords and press Enter.

ALPA DAN LEKA

Sudah melepasi tempoh enam bulan Malaysia dan seluruh dunia berhadapan dengan musuh tidak kelihatan, virus COVID-19. Dari keadaan awal yang kucar kacir, gegak gempita dan panik sehingga ia berjaya dikawal dengan jaya melalui strategi dilaksana pemerintah sehinggalah rasa selamat dan gembira dan kembali alpa dan leka. Ya. Leka dan alpa. Sehingga perasaan selamat itu kembali menjadi musuh dalam diri dan masyarakat.

Masihkah ingat saat-saat bergegas menelurusi lorong-lorong kedai dan pasaraya memastikan bakul dan troli penuh melimpah ruah. Ibarat kiamat akan mengetuk pintu rumah. Risau roti tidak dapat bercicah kuah. Berbondong-bondong lalu bertolak-tolakkan menjadi barisan hadapan di rak-rak hampir kosong kerana semua mau jadi juara. Juara memenuhkan bakul dan troli. Akhirnya sampai ketika ini masih ada pembelian belum lunas tujuannya akibat rasa panik dan ego tidak mahu terkalah berbaris dengan jiran sebelah.

Mungkin ramai sudah lupa saat-saat petugas barisan hadapan berdiri hampir tempang melawan musuh ini. Rakyat Malaysia yang prihatin berganding bahu memberi apa yang ada untuk dijadikan tompang kepada pejuang yang nyaris tumbang. Terima kasih kepada mereka, hari ini kita dalam landasan yang betul untuk pulih sepenuhnya. Namun dibuai perasaan gembira dan berjaya itu juga musuh yang tidak terlihat kerana ia menjadikan ramai juga yang makin alpa dan leka. Kian bertambah diantara kita kembali lupa bahawa saat petugas barisan hadapan itu bertungkus lumus untuk kita, harga yang dibayar mereka terlalu mahal. Penat lelah kudrat serta limpahan keringat dan air mata menjadi teman setia diwaktu seluruh negara ketakutan dan kerisauan.

Masih ingatkah kita dikala seluruh warga bekerjasama mematuhi perintah oleh pemerintah untuk duduk di rumah? Sepakat membawa berkat diperkukuh dengan disiplin diri, keluarga dan komuniti mematuhi SOP. Hasilnya wabak hampir berjaya disanggah. Namun telah ramai yang hilang punca pencarian. Ramai saudagar yang bungkus perniagaan. Panjangnya barisan para pekerja yang hilang nafkah pendapatan. Inilah natijah penularan wabak yang segera perlu ditamatkan. Perintah Kawalan Pergerakan Langkah efektif tetapi ia dibayar dengan keperitan. Perit ini bukan sahaja kepada segelintir kecil khalayak tetapi kepada ramai rakyat jelata. Dan perit itu masih membungkam hati dan perasaan. Jalan pemulihan baru bermula dan masih jauh. Syukur pengorbanan ini berkat kerjasama semua hingga Malaysia berjaya antara yang terbaik di dunia. Tapi leka dan alpa boleh menukar syukur kepada kufur. Malang lagi kalau kufur itu pula secara telaksana berjemaah. Ibarat musibah hampir berlalu namun hadir kembali kerana sengaja diseru-seru.

Kini apabila keadaan telah terkawal banyak, khalayak yang dipertahankan barisan hadapan ini ada yang makin sewenang alpa dan leka. Rasa kebal dan tidak merasa akan terkena wabak makin menular mekar di kalangan warga. Ketidak patuhan kepada usaha kawalan berleluasa. Ketidak ikutan kepada amalan pencegahan menjadi perbuatan. Ketidak seriusan kepada ingatan dan amaran seolah menjadi senda gurauan. Statistik hanya nombor dilapor setiap jam 5.00 petang oleh hero tersohor negara. Hero ini bukan ingin diangkat menjadi pahlawan. Hero ini hanya negarawan yang inginkan rakyat bermuafakat kekal istiqamah melawan musibah. Impiannya mudah kalau kita semua bersedia berubah. Dari alpa dan leka kepada kembali cakna dan berjaga-jaga.

Ayuhlah warga semua. Kembali kita bermuhasabah. Adalah cukup pujian di lempar sebagai bunga penghargaan kepada perit jerih petugas barisan hadapan kita kini disusuli hadiah kelekaan dan ego kita? Perjuangan belum selesai. Wabak ini ibarat api dalam sekam. Membakar ini dikala leka. Musuh mengintai peluang dan membina mutasi kekuatan yang bila-bila masa boleh membawa musibah lalu menghadiahkan punah dan ranah. Kembali lah kita untuk sedar. Istiqamah mematuhi SOP dan Haluan di pandu pemerintah. Norma baharu itu budaya perjuangan baharu. Kembali lah berjuang. Perang melawan musuh tidak terlihat ini menuntut kita dan komuniti menjadi tonggak di benteng hadapan. Kerana kini, kitalah pejuang yang akan sentiasa cakna dan berjaga-jaga.

IBNU MUHSIN

19 SEPTEMBER 2020