M Update, 21/9/2020 – Penggunaan ePayment akan diperluaskan ke setiap daerah dan cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara menjelang 2021.
Ketua Pengarah JPN Datuk Ruslin Jusoh, berkata ia bagi mengurangkan risiko pengurusan tunai di kaunter sekali gus mengelak isu ketirisan, rasuah dan kehilangan wang di kaunter-kaunter kerajaan. Katanya, ketika ini penggunaan ePayment sudah dilaksanakan di JPN negeri serta cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pihaknya menyasarkan pelaksanaan sepenuhnya kaedah itu pada akhir tahun depan.
“Itu adalah perancangan kita selepas melaksanakannya di peringkat ibu negeri, ia akan dibuat di daerah sebelum dibawa ke cawangan-cawangan kecil.
“Untuk makluman, kita ada 225 pejabat di seluruh negara, jadi prosesnya akan mengambil masa selain mengambil kira kekangan yang dihadapi penduduk yang berada di kawasan kampung dan pedalaman, kemungkinan mereka ini tiada lagi mempunyai kad bank dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kemudahan ePayment dan Sesi Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negeri Terengganu semalam.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN, Badrul Hisham Alias; Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem dan wakil Pengurus Maybank Kuala Terengganu, Ahmad Sabri Mohamad.
Ruslin berkata, pelaksanaan kemudahan ePayment di JPN adalah usaha kerajaan untuk menyediakan tambahan kaedah bayaran melalui penggunaan kad debit dan kad kredit dalam urusan pembayaran di kaunter-kaunter JPN. Katanya, projek rintis yang mula dilaksanakan di JPN cawangan UTC Terengganu pada Mei 2018 itu sangat digalakkan terutamanya dalam amalan norma baharu. – BH Online