M Update, 22/9/2020 – Polis menerima sebanyak 35 laporan polis sehingga hari ini berkaitan penghinaan seorang bekas menteri terhadap anggota keselamatan yang bertugas ketika Op Daulat Lahad Datu pada 2013.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 28 laporan dibuat di negeri ini manakala tujuh lagi laporan Semenanjung mengenai ceramah yang dilakukan bekas menteri dan juga calon Dewan Undang Negeri (DUN) di gelanggang futsal Kampung Wawasan, Lahad Datu, jam 3 petang, Ahad lalu.
“Kes dibuka kertas siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 500, Seksyen 505 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman akan mengambil alih sepenuhnya siasatan yang akan dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan pengundian awal di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Hazani berkata, siasatan akan dilakukan secara profesional dan selepas selesai, kertas siastaan akan dihantar ke peguam negara untuk arahan selanjutnya.
“Bila-bila masa sahaja kita akan panggil calon itu untuk memberi keterangan…tapi seboleh-bolehnya saya cuba selepas PRN supaya tidak mengganggu proses kempen dan PRN yang sedang berlangsung,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai proses pengundian awal, beliau berkata, keadaan baik dan hari ini seramai 11,423 warga polis yang terdiri daripad pegawai, anggota dan kakitangan awam serta keluarga keluar mengundi di pusat-pusat yang di tetapkan di seluruh daerah di Sabah. – BH Online