Input your search keywords and press Enter.

Kesihatan, Ekonomi Antara 6 Kluster Utama Pastikan Pengurusan Darurat Berjalan Lancar

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

M Update, 18/01/2021 – Kluster Kesihatan dan Kluster Ekonomi antara enam kluster utama yang diberi fokus oleh kerajaan susulan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat pada Sabtu.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata kewujudan enam kluster itu bertujuan menyelaraskan kesemua agensi dan kementerian terlibat dalam memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar.

“Empat kluster lain adalah keselamatan, pendidikan, komunikasi dan Kluster Perhubungan Persekutuan dan Negeri,” katanya dalam satu temu ramah eksklusif bersama Bernama di pejabatnya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Zuki berkata Kluster Ekonomi akan bertanggungjawab untuk menilai dan mengesyorkan polisi serta strategi ekonomi negara dalam tempoh darurat untuk memastikan kestabilan dan keyakinan rakyat serta pelabur.

Kluster Kesihatan pula tegasnya, berperanan untuk menilai dan mengesyorkan polisi dan strategi berkenaan kesihatan awam semasa tempoh darurat, merangkumi penyediaan perkhidmatan kesihatan awam yang lancar, ketersediaan bekalan ubat dan stok darah selain COVID-19 serta pengambilalihan sementara aset bagi tujuan perkhidmatan kesihatan.

Bagi Kluster Keselamatan, Mohd Zuki menarik perhatian, ia menilai dan mengesyorkan strategi keselamatan negara dalam tempoh darurat untuk mengekal, melindungi dan mempertahankan nilai-nilai teras negara termasuk menilai akta-akta yang perlu dikuatkuasakan sementara dan pengambilalihan sementara aset bagi tujuan keselamatan.

“Bagi Kluster Pendidikan, ia menilai dan mengesyorkan polisi dan strategi pendidikan rendah, menengah dan tertiari yang sesuai dalam tempoh darurat terutamanya melibatkan akses pendidikan, peperiksaan dan pergerakan pelajar,” katanya.

Menyentuh mengenai Kluster Komunikasi, Mohd Zuki berkata kluster ini akan memperjelaskan sebarang maklumat yang sahih mengenai darurat kepada rakyat selain menganalisis pandangan rakyat terhadap tempoh darurat.

Menurutnya, bagi Kluster Perhubungan Persekutuan dan Negeri pula, ia berperanan untuk menyelaras isu-isu perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri terutamanya dalam isu pemakaian dan penyelarasan ordinan serta enakmen negeri.

“Harus dinyatakan bahawa di dalam perintah darurat ini, Kerajaan negeri akan berfungsi seperti biasa. Hanya beberapa kuasa sementara di bawah Yang di-Pertuan Agong yang melibatkan pengambil milikan sementara tanah bangunan atau harta alih bagi tujuan sebagai mana yang telah dinyatakan,” katanya.

Mohd Zuki menjelaskan, kesemua ahli dan pihak di dalam kluster tersebut telah bermesyuarat dan menjalankan tugas masing-masing yang memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan kesan sampingan jika tindakan lambat diambil khasnya bagi mengawal penularan dan serta memutuskan rantaian pandemik COVID19.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, jentera pentadbiran negara tidak terkesan dengan pengisytiharan darurat kerana perkhidmatan sektor terlibat termasuk awam dan swasta, berjalan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard ditetapkan selain mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apa yang mustahak, perkhidmatan kerajaan tidak terjejas. Ini penting untuk dimaklumkan kepada rakyat dan pelabur agar mereka faham mesej yang hendak disampaikan termasuk kenapa darurat diperkenalkan.

“Walaupun PKP sudah wujud, namun kes masih tinggi. Kerana itu, pentingnya rakyat memahami dan mematuhi Ordinan Darurat yang diumumkan agar pelaksanaannya dapat dijalankan sebaik mungkin,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat, bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar.

Jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Jawatankuasa teknikal ini antara lain bertanggungjawab untuk memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat, selain meneliti dan mengkaji isu-isu berbangkit berkaitan darurat dan mengesyorkan cadangan penyelesaian.

Jawatankuasa itu juga berperanan menyelaras pengurusan darurat bersama pihak berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri, selain mengetuai pemantauan dan naziran penguatkuasaan undang-undang berkaitan darurat di semua peringkat.

Perdana menteri berkata, jawatankuasa itu juga akan dianggotai lapan ahli tetap terdiri daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan Ketua Kluster.