M Update, 24/9/2020 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak sesekali memandang ringan berhubung maklumat diterima berkaitan kemasukan beramai-ramai rakyat negara jiran yang ingin membuat kekacauan ketika proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi apa jua kemungkinan.
“Polis sentiasa bersiap sedia bagi situasi PRN di Sabah ini dengan bantuan yang mencukupi termasuk dari Bukit Aman sendiri yang mampu menangani apa jua insiden yang dijangka berlaku termasuk maklumat kemasukan rakyat negara jiran.
“Ia turut ditambah dengan bantuan daripada pasukan keselamatan lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Rela dan tidak lupa juga Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) yang sentiasa bersedia memastikan keselamatan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya Sabah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman, semalam.
Ahad lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran untuk membuat kekacauan pada hari pengundian PRN Sabah, Sabtu ini.
Sementara itu, Acryl Sani berkata jumlah pegawai dan anggota polis yang dihantar ke Sabah mencukupi setakat ini. – BERNAMA