M Update, 1/10/2020 – FGV Holdings Berhad (FGV) menyangkal dakwaan tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) menerusi Perintah Pelepasan Tahan (WRO) terhadap minyak sawit dan produk komoditi yang dihasilkan adalah tidak munasabah.
FGV dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya kecewa dengan keputusan itu memandangkan beberapa langkah sudah diambil sejak tahun 2015 dalam usaha menunjukkan komitmennya untuk menghormati hak asasi manusia dan menegakkan piawaian pekerja.
Jelasnya, banyak usaha sudah dilaksanakan antaranya memperkuat prosedur dan proses dalam pengambilan pekerja asing dengan menubuhkan empat pusat sehenti di negara ini dan negara sumber iaitu di India dan Indonesia.
“Melalui sesi orientasi ini, pekerja asing akan diberi penerangan mengenai pelbagai perkara termasuk syarat pekerjaan mereka, skop dan cara pekerjaan, hak dan tanggungjawab, serta faedah kepada mereka.
“FGV juga menyediakan Garis Panduan dan Prosedurnya untuk Pengambilan Pekerja Asing yang Bertanggungjawab pada tahun 2019 sesuai dengan piawaian antarabangsa dan akan terus memperkuat dokumen itu.
“Di bawah garis panduan itu, FGV sentiasa komited untuk membayar berkaitan dengan pengambilan pekerja asing yang meliputi tambang dan permit bekerja, visa, pemeriksaan perubatan dan insurans, malah FGV turut menyemak semula kontraknya dengan agensi pengambilan pekerja asing untuk memastikan bahawa tidak ada bayaran yang dikenakan ke atas pekerja itu,” jelasnya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
FGV menjelaskan, pihaknya juga tidak terbabit dengan pengambilan pekerja pelarian kerana bermula tahun 2020, hanya pekerja asing dari India dan Indonesia diambil menerusi proses yang sah. Sehingga Ogos lalu, FGV mempunyai 11,286 pekerja Indonesia dan 4,683 pekerja India, malah FGV juga tidak mengambil pekerja kontrak.
“FGV juga tidak mengamalkan penyimpanan pasport pekerjanya dan sudah memasang sejumlah 32,250 kotak keselamatan di seluruh 68 kompleksnya sebagai pilihan bagi pekerja asing untuk menyimpan pasport mereka dengan selamat.
“Di samping itu, FGV juga mempelopori pelaksanaan sistem pembayaran tanpa tunai iaitu dompet elektronik (e-wallet) sejak Februari lalu untuk pekerja ladangnya yang dianggap lebih mudah dan efisien bagi pekerja untuk menguruskan kewangan mereka.
Bukan itu saja, FGV juga melabur sekitar RM350 juta untuk meningkatkan kemudahan perumahan bagi pekerja dengan membina kediaman baru di ladang kami di seluruh negara dan menyediakan faedah perubatan tahunan,” menurut kenyataan itu.
Bukan setakat itu saja, FGV turut menggunakan Kod Tingkah Laku Pembekal (SCOC) yang menggariskan prinsip dan standard yang berkaitan dengan kelestarian; etika dan integriti perniagaan; keselamatan, kesihatan dan persekitaran; dan tenaga kerja yang mesti dipatuhi dan jika gagal, akan disenarai hitamkan.
“Justeru inginkan ditekankan bahawa FGV tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk pelanggaran hak asasi manusia atau kesalahan jenayah dan memberikan perhatian serius terhadap setiap tuduhan keganasan fizikal atau seksual serta intimidasi atau ancaman dan sebagai syarikat yang bertanggungjawab, setiap kes seperti dinyatakan itu akan dilaporkan kepada pihak berwajib,” jelas kenyataan itu. – BH Online