Input your search keywords and press Enter.

Tak Jaga Jarak Dalam Kenderaan Dikompaun Adalah Palsu

Foto : FB Polis Penampang

M Update, 19/10/2020 – Polis membuka kertas siasatan penularan mesej tular mendakwa kononnya anggota pasukan keselamatan itu mengeluarkan kompaun terhadap tiga individu berikutan tidak menjaga jarak sosial dalam kenderaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, mesej yang ditularkan di media sosial dan WhatsApp itu tidak tepat dan mencemarkan imej polis, khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Katanya, polis memandang berat perkara itu dan memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat palsu yang mempunyai unsur fitnah kerana mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Terdahulu, satu mesej tular sejak beberapa hari lalu apabila ada individu mendakwa dikenakan kompaun adalah disebabkan mereka tidak menjaga jarak sosial di dalam kenderaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) baharu dalam kenderaan ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).