M Update, 21/10/2020 – Tindakan seorang pelakon wanita bersama rakannya berbasikal merentasi sempadan di Jalan Gombak Lama ke arah Genting Sempah, pada 18 Oktober lalu, mengundang padah apabila mereka ditahan polis, semalam.
Pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu apabila melihat hantaran dimuat naik artis wanita terbabit di akaun Instagram pada 3.14 petang semalam.
Kami melihat ada satu gambar dimuat naik pada hantaran itu yang memaparkan dua wanita sedang berbasikal. Gambar itu diambil secara swafoto oleh pemilik akaun berkenaan yang juga artis wanita terbabit berusia 29 tahun itu. Berdasarkan gambar berkenaan, kami mengesyaki pemilik akaun berkenaan merentas negeri tanpa kebenaran pihak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe
Siasatan awal mendapati kedua-dua wanita berkenaan bergerak dari rumah di Dutamas ke sebuah restoran berhampiran Hospital Orang Asli Gombak dan meletakkan kereta di kedai terbabit pada 7.45 pagi pada 18 Oktober lalu. Mereka kemudian berbasikal melalui jalan Gombak Lama ke arah Genting Sempah pada 8.30 pagi.
Selepas berbasikal kira-kira 10 kilometer, mereka berpatah balik ke kenderaan dan bergerak ke Kuala Lumpur. Kedua-dua wanita terbabit ditahan ketika tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak 8 malam tadi sebelum dibebaskan dengan jamin polis.
Pihaknya polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dan Peraturan 11 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No 8) 2020.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.