Keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu menolak pengisytiharan darurat disifatkan sebagai manifestasi dukungan baginda terhadap keutuhan sistem demokrasi di negara ini.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata ia juga menggambarkan kepercayaan baginda pada mekanisme semak dan imbang kuasa cabang eksekutif, yang perlu dihormati dan tidak diketepikan mana-mana pihak.
“ABIM menilai titah ini menggambarkan ketegasan dan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu terhadap kebimbangan disuarakan rakyat yang khuatir pada kesan buruk jika darurat diisytiharkan.
“Titah ini juga menunjukkan kebijaksanaan serta keyakinan Tuanku terhadap keupayaan saf barisan hadapan, khususnya penjawat awam sektor kesihatan yang bertungkus-lumus meredakan penularan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan, memaklumkan hasil perbincangan dengan Raja-Raja Melayu, Al-Sultan Abdullah bertitah, tiada keperluan mengisytiharkan darurat selepas baginda merasakan kerajaan ketika ini berjaya menangani wabak COVID-19 dengan baik dan berkesan. Al-Sultan Abdullah juga bertitah menggesa ahli politik untuk menghentikan politik berlebihan yang boleh mengganggu kestabilan negara.
Muhammad Faisal menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk meneruskan keteladanan tinggi dengan mematuhi setiap saranan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan petugas barisan hadapan.
ABIM akan terus bersama seluruh rakyat Malaysia dan barisan hadapan untuk bersatu padu dan menggembleng usaha serta kemahiran untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dan menangani kesannya demi kemaslahatan negara yang kita cintai.
Sumber : BH Online