M Update, 4/12/2020 – Jabatan Imigresen menyasarkan antara 200,000 hingga 250,000 permohonan daripada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang, menjelang Jun tahun depan.
Kedua-dua program itu adalah dua komponen utama Pelan Rekalibrasi PATI, dimulakan sejak 16 November lalu yang membenarkan mereka pulang ke negara asal secara sukarela dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata permohonan untuk program khas itu akan tamat pada 30 Jun tahun depan dan permohonan boleh dibuat melalui portalĀ www.imi.gov.my.
“Setakat hari ini Jabatan Imigresen sudah menerima sebanyak 478 permohonan daripada majikan untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, membabitkan 1,980 PATI.
“Majikan boleh membuat permohonan secara serentak bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja melalui Jabatan Imigresen dan kuota pekerja asing melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
“Kuota kelayakan majikan untuk menggajikan pekerja asing adalah berdasarkan nisbah kelayakan semasa serta terhad kepada empat sektor, iaitu perkilangan, pembinaan, pertanian dan perladangan,” katanya pada sidang media Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, di sini, hari ini.
November lalu, kerajaan melancarkan Pelan Rekalibrasi PATI yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dengan kerjasama strategik JTKSM serta agensi-agensi kerajaan lain tanpa pembabitan vendor atau pihak ketiga.
Khairul Dzaimee berkata, PATI yang layak dan mendapatkan janji temu secara dalam talian menerusi Sistem Temujanji Online, perlu hadir ke pejabat Imigresen yang dipilih dan membawa bersama dokumen perjalanan sah, tiket pulang ke negara asal serta bayaran kompaun antara RM300 hingga RM500.
Katanya, ketika ini terdapat seramai 12,400 PATI berada di 14 depoh tahanan di Semenanjung dan kebanyakan mereka adalah warga Myanmar, Pakistan, India, Indonesia dan Bangladesh.