M Update, 17/12/2020 – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) bakal menjadi individu pertama di republik berkenaan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Pengumuman Jokowi itu dibuat bagi membendung penyebaran maklumat salah dan berita palsu mengenai COVID-19, ketika negara itu berdepan gelombang baharu dengan jumlah 630,000 kes jangkitan dan 19,000 kematian setakat ini.
“Saya secara peribadi akan menjadi penerima pertama (vaksin ini) bagi meyakinkan penduduk bahawa vaksin yang digunakan adalah selamat.”
“Vaksin COVID-19 ini akan diberikan secara percuma kepada semua warga Indonesia,” katanya dalam video yang dikongsi di akaun Twitternya, menurut laporan agensi berita CNA.
Sebelum ini, kerajaan mengatakan bahawa hanya kakitangan kesihatan, warga tua dan individu tertentu saja diberikan vaksin secara percuma.
“Selepas menerima maklum balas daripada penduduk dan selepas melakukan perkiraan semula mengenai tabung negara, saya dapat umumkan bahawa vaksin COVID-19 akan diberikan kepada warga negara ini secara percuma. Tiada bayaran dan yuran akan dikenakan.
“Justeru, kita mengarahkan semua anggota Kabinet, kementerian, agensi dan pemerintah daerah untuk mengutamakan vaksinasi dalam belanjawan 2021 mereka. Kita juga mengarahkan Menteri Kewangan mengutamakan dan memperuntukkan semula perbelanjaan lain bagi memastikan vaksin percuma ini sedia ditawarkan supaya tidak ada alasan bagi penduduk tidak menerima suntikan vaksin.” ,” kata Jokowi
Bagaimanapun, Jokowi tidak memaklumkan mengenai tarikh ia akan mendapatkan suntikan itu atau bila program suntikan besar-besaran akan dilakukan.
Namun, ia berbesar hati untuk menjadi yang pertama mendapatkan suntikan itu bagi membuktikan ia adalah selamat.
“Tidak ada alasan orang ramai tidak mendapatkan vaksin itu atau meragui keselamatannya,” katanya.
Indonesia sudah menandatangani perjanjian bagi mendapatkan 350 juta dos vaksin dari beberapa syarikat farmaseutikal antarabangsa termasuk AstraZeneca dan Sinovac.
Ia bagaimanapun tidak mencukupi untuk menampung keperluan 270 juta penduduknya memandangkan ia memerlukan dua dos bagi setiap individu.
Indonesia dijangka menerima penghantaran pertama sebanyak 1.2 juta dos vaksin dari Sinovac bulan ini, diikuti 1.8 juta dos lagi pada Januari 2021.
Dalam satu tinjauan pemerintah yang dijalankan pada September lalu, sekitar 65 peratus responden berkata mereka sedia mendapatkan suntikan vaksin manakala hanya 35 peratus daripada responden itu berkata mereka sanggup membuat bayaran untuk mendapatkan suntikan.
Indonesia mempunyai lebih 260 juta penduduk.
Pemerintah Indonesia sebelum ini merancang untuk menawarkan vaksin secara percuma kepada sekitar 32 juta kakitangan kesihatan, tentera dan polis serta penjawat awam, sementara penduduk yang lain perlu bayar untuk mendapatkan vaksin.
Keputusan itu mengundang kritikan, dengan sebilangan penduduk menarik perhatian kepada negara-negara lain yang memberikan vaksin secara percuma.