M Update, 17/12/2020 – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah sudah mengusir seramai 7,053 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi beberapa siri pengusiran sepanjang tahun ini.
Terbaharu jam 11 pada pagi ini, seramai 155 orang lagi PATI warga Indonesia diusir ke negara asal dengan menaiki feri dari Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.
Pengarah MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof, berkata pengusiran siri ke-29 melalui jalan laut itu membabitkan 117 lelaki, 24 wanita, serta masing-masing 10 kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan PATI yang diusir keluar dari Sabah pada tahun ini, seramai 298 individu daripada lain-lain negara juga sudah diusir melalui udara membabitkan warga Pakistan, China, Vietnam, Hong Kong, Korea Selatan dan lain-lain.
“Tindakan pengusiran ini adalah sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19.
“Semua tahanan disahkan berada dalam keadaan ‘fit to travel’ sebelum diusir manakala, mereka yang didapati sakit atau bergejala akan menjalani rawatan sewajarnya terlebih dahulu.
“Semua tahanan juga menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diusir dan penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sharifah Sitti Saleha berkata, seperti siri-siri pengusiran sebelum ini, pihaknya menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan Indonesia khususnya Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu dan Konsulat Republik Indonesia di Tawau dalam memastikan proses pengusiran berjalan lancar.