M Update, 28/12/2020 – Zon merah COVID-19 di Sabah berkurangan kepada 11 daerah semalam berbanding 12 pada 26 Dis 2020 kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.
Masidi berkata ini selepas Kudat bertukar kepada zon jingga yang sekali gus menambah bilangan zon berkenaan kepada tujuh berbanding enam, pada 26 Dis 2020.
Selain itu, katanya Sabah setakat ini masih merekodkan tujuh zon kuning dan dua zon hijau.
“Sebanyak 186 kes positif baharu COVID-19 direkodkan di Sabah semalam menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 36,074 kes dengan satu kematian dilaporkan di Penampang semalam.
“Sebanyak 109 kes atau 58.6 peratus daripada kes baharu itu berpunca daripada saringan kontak rapat, saringan bergejala, 31 kes (16.7 peratus), saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 30 kes (16.1 peratus), dan 16 kes (8.6 peratus) lain-lain kategori,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Masidi yang merupakan jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata Kota Kinabalu dan Tawau adalah antara lima daerah merekodkan kes positif tertinggi hari ini iaitu 40 kes, diikuti Penampang (22), Putatan (13) dan Sandakan (10).
Beliau berkata seramai 219 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital semalam menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah seramai 33,790 orang, manakala seramai 1,557 lagi sedang menerima rawatan.
Jumlah itu termasuk 564 pesakit di hospital dan 993 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, katanya.
Dalam perkembangan lain, Masidi berkata kerajaan negeri telah mengagihkan sebanyak 304,415 bakul makanan kepada golongan sasar di semua 27 daerah, seluruh negeri.