M Update, 18/01/2021 – Dewan baharu di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dijangka mula beroperasi petang ini.
Pengarah PKRC2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim, berkata persiapan akhir ketika ini giat dijalankan, sebelum lebih 600 pesakit wanita yang juga rakyat tempatan di dewan B, dipindahkan ke kemudahan baharu berkenaan.
Katanya, dewan baharu, D1 itu akan turut menempatkan pesakit kanak-kanak rakyat tempatan supaya mereka lebih selesa dan dapat bersama dengan ibu masing-masing.
“Kita sedang selesaikan sedikit persiapan, sebelum pindahkan pesakit wanita yang sebelum ini di dewan B ke D1.
“Ini bertujuan untuk memberi mereka lebih keselesaan ketika ditempatkan di PKRC, sekali gus berupaya membantu kadar penyembuhan terutama menerusi sokongan kesihatan mental.
“Pengurusan akan menjalankan kerja-kerja persiapan di dewan B bagi menempatkan pesakit lebih kritikal, iaitu kategori tiga dan empat,” katanya ketika dihubungi.