M Update, 26/01/2021 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat suntikan semangat dalam memerangi penularan pandemik COVID-19 apabila 95 buah hospital swasta bersetuju untuk membantu kerajaan dalam merawat pesakit COVID.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sesi libat urus antara kedua-dua pihak itu adalah satu perkembangan baik yang melibatkan pertukaran dan perkongsian tenaga pakar termasuk aset yang ada ketika negara berusaha keras melandaikan lengkuk pandemik tersebut.
“Kita baru mulakan libat urus dengan mereka Sabtu lalu dan kita dapati, 95 daripada 130 hospital yang berkemampuan merawat pesakit COVID-19, bersetuju untuk sama-sama dalam hal ini. Sehingga kini, kita mempunyai 1,286 katil termasuk 65 di Unit Rawatan Rapi, 54 buah mesin ventilator selain bantuan dari 66 pakar perubatan.
“Kita juga menggunakan Ordinan Darurat yang membolehkan tenaga pakar, petugas dan aset seperti bekalan ubat yang dipinjamkan dari swasta ke swasta, awam ke awam atau sebaliknya,” katanya dalam satu taklimat media darurat COVID-19 bersama KKM secara maya semalam.
Ditanya sama ada Ordinan Darurat yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini membantu KKM dalam mengurangkan peningkatan kes COVID-19, Dr Noor Hisham berkata ia sangat berguna dalam membentuk kerjasama dengan hospital swasta khasnya apabila ada kes-kes kecemasan.
Jelasnya, Ordinan Darurat telah memperkasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dalam berdepan masalah jangkitan penyakit yang kini tidak lagi terhad kepada lokaliti tertentu saja selain kini lebih tinggi tersebar menerusi sporadik berbanding kluster.
“Akta 342 ini dibuat sewaktu 1988 yang dahulunya tidak dimasukkan negeri, cuma kawasan tetapi ia boleh digunakan untuk kecemasan seperti penggunaan tenaga pakar awam ke swasta.
“Kita tidak gunakan kekerasan (paksaan) dengan hospital swasta sehingga membawa kepada mahkamah, sebaliknya ‘soft approach’ dalam membentuk kerjasama di samping melihat kepada keupayaan yang mereka ada,” tambahnya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham juga berkata sistem penjagaan kesihatan negara berada di takat putus dan sebab itu amaran dibangkitkan awal bulan ini susulan kapasiti hospital yang ada bagi menampung pesakit COVID-19.
Beliau berkata integrasi dan kerjasama antara penyedia perkhidmatan kesihatan swasta dan hospital kerajaan boleh mengurangkan kesesakan pesakit.
“Strategi kami adalah untuk mengurangkan kes. Sekarang kita mempunyai ruang yang cukup untuk memenuhi keperluan pesakit. Kami berharap dalam masa dua minggu akan datang, kami dapat mengurangkan dan menstabilkan keadaan. Rancangannya adalah untuk mengurangkan dan mengawal keadaan dan berharap sistem penjagaan kesihatan kembali kepada normal,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kanan Setor Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan KKM Dr A.Maheshwara Rao yang turut menyertai taklimat itu berkata aplikasi MySejahtera diwujudkan untuk memberi kesedaran tentang kes COVID-19 termasuk notifikasi berkenaan radius terdekat dengan seseorang pengguna.
Jelasnya, notifikasi itu bukanlah untuk menakutkan pengguna sebaliknya memberikan peringatan dan kesedaran tentang pentingnya aspek penjagaan diri dan prosedur operasi standard (SOP) di mana sahaja mereka berada.
“Malah, apabila ada kes yang berdekatan dengan pengguna, hal ini disebarkan di dalam Twitter dan platform lain. Ini pada saya, satu petanda bahawa masyarakat peka akan kes berhampiran mereka,” katanya dan menambah aplikasi itu akan dikemaskini dalam masa 72 jam untuk tujuan penambahbaikan.
Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya mengemas kini maklumat diri serta mengaktifkan ‘push notification’ supaya dapat mengetahui maklumat dan hebahan terkini dan sehingga kini, aplikasi itu sudah dimuat turun oleh 27,313,193 pengguna melibatkan 1.5 juta premis perniagaan berdaftar.