M Update, 29/01/2021 – MIC menafikan tuduhan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR bahawa parti itu mengambil pendirian berbeza berhubung isu pergerakan pedati sempena sambutan Thaipusam di Pulau Pinang dan Kedah.
Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh, berkata pandangan dilontar ADUN Hulu Kinta, Muhammad Arafat Mahammad Varisai jelas menunjukkan beliau tidak memahami pentingnya upacara perarakan pedati ketika Thaipusam untuk penganut Hindu.
Beliau menjelaskan, Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam yang mengendalikan perarakan pedati di Kuala Lumpur serta Kuil Nagarathar Thandayuthapani Pulau Pinang (TNTT) di Pulau Pinang membuat permohonan bagi mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, yang juga Menteri Sumber Manusia hanya mempermudah bagi memperoleh persetujuan selepas mengambil kira pentingnya ritual itu.
“Sekiranya seseorang itu ada akal, mereka tidak akan pernah memberi komen atau membincangkan sesuatu isu tanpa mempunyai pemahaman asas mengenai hal itu. Apa pun, ini bukan perkara baru. Tindakan seperti itu selalu menjadi masalah bagi pemimpin PKR sejak dulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Muhammad Arafat seperti dilapor sebuah portal berita semalam bahawa MIC hanya mahu campur tangan di Pulau Pinang untuk mendapatkan kebenaran pergerakan pedati namun di Kedah, mereka sekadar membuat kritikan di media berhubung isu sambutan Thaipusam.
Mengulas lanjut, Sivarraajh meminta ADUN berkenaan berhenti daripada terus mempolitikkan isu berkenaan kebenaran menjalankan upacara itu.
“Perarakan pedati di Pulau Pinang dan Batu Caves (Selangor) dilakukan dengan persetujuan MKN dengan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang berlangsungnya upacara itu,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan tindakan Muhammad Arafat yang secara tiba-tiba mengambil berat mengenai isu dihadapi komuniti India sedangkan selama ini, parti itu banyak memberi fokus untuk menjadikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sebagai Perdana Menteri.
“Fahami dulu asasnya sebelum memberi reaksi kepada pihak lain. Tidak boleh semua isu diheret ke kancah politik. Isu Thaipusam adalah seperti itu. Ini bukan mengenai MIC, PKR atau DAP tetapi mengenai kepentingan agama, adat dan ritual penganut Hindu di Malaysia,” katanya.