M Update, 04/02/2021 – Polis Labuan mempertingkat pengawasan dan pemeriksaan di sepanjang kawasan pesisir serta jeti dalam usaha menangani kemasukan haram ke pulau bebas cukai itu.
Pemangku Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani, berkata sekurang-kurangnya 12 pasukan pemantau ditugaskan melakukan pemeriksaan 24 jam sehari.
“Pemeriksaan rutin akan dipergiat di sepanjang kawasan pesisir dan jeti termasuk tempat kapal berlabuh bukan hanya ketika penularan pandemik COVID-19 ini tetapi juga pada setiap masa,” katanya semalam.
Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian usaha bagi memastikan orang ramai mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami sedaya-upaya tidak mahu mengeluarkan kompaun kerana pelaksanaan pemantauan melalui kehadiran polis akan membantu orang ramai mematuhi arahan itu,” katanya.
Mohd Ibrahim berkata sekurang-kurangnya 89 kompaun dikeluarkan setakat ini untuk pelbagai kesalahan sejak PKP dilaksanakan semula pada 13 Januari lalu.
Antara kesalahan serius yang direkodkan ialah kemasukan haram ke pulau itu bagi mengelak ujian saringan COVID-19 dan kuarantin, tiada permit bagi perjalanan rentas sempadan dan tidak mendaftar masuk dengan aplikasi My Sejahtera bagi pengesanan kontak COVID-19 semasa memasuki premis menjual makanan.
“Kesalahan lain yang sering dilakukan ialah melepak dan berjoging di pantai, tidak mengamalkan penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam,” katanya.
Mengulas larangan perjalanan rentas sempadan dari Labuan ke negeri lain termasuk Sabah yang dilanjutkan, beliau berkata jumlah anggota polis yang mencukupi ditempatkan di tiga pintu masuk iaitu di dua terminal feri dan Lapangan Terbang Labuan.